Oleh ABDUL RAHIM SABRI
Foto HAFIZ OTHMAN
Dek cinta terhadap sukan permotoran, Ketua Pegawai Eksekutif Horizon Beranang Circuit (HBC) Mohamad Yusaini Nowawi berazam mahu memiliki litar lumba sejak sembilan tahun lalu.
Hasratnya mahu menggilap bakat pelumba seawal umur empat tahun dengan adanya litar berkenaan, sekali gus mengukuhkan Selangor sebagai hab sukan permotoran di negara ini.
Berkecimpung dalam sukan berkenaan sejak 2015, impian Mohamad Yusaini tercapai apabila litar dicita-citakan itu siap pada Mei di atas tanah sewa seluas 5.7 ekar milik Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Beliau sememangnya tidak menyangka akan menguruskan litar lumba persendirian, malah kejayaan itu diraikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dalam satu majlis perasmian pada 8 Ogos.
“Saya tidak terfikir boleh melangkah sejauh ini,” katanya, sambil menambah litarnya menyediakan pelbagai kemudahan untuk pelumba.
Bercakap kepada Selangorkini pada 18 September, Mohamad Yusaini memberitahu, litar itu yang terletak di Taman Perindustrian Mahkota, Hulu Langat boleh memuatkan 1,500 penonton pada satu-satu masa.
Idea Mohamad Yusaini mengadakan litar untuk mengasah bakat muda itu bermula daripada penubuhan pasukan pelumba sendiri sambil menjalankan sewa motosikal untuk menjana pendapatan.
[caption id="attachment_665633" align="aligncenter" width="700"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melepaskan pelumba cilik ketika merasmikan Majlis Perasmian Litar Horizon Beranang (HBC) di Taman Perindustrian Mahkota, Beranang, Hulu Langat pada 8 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kemudian beliau menubuh syarikat Horizon Motorsport yang mengurus dan menganjurkan acara permotoran.
Setelah syarikatnya stabil dengan mencatat keuntungan, Mohamad Yusaini dan rakan kongsi Rozali Salleh membentangkan pula usul menubuhkan litar lumba kepada MPKj pada November 2022.
Ia kemudian diluluskan sebulan kemudian. Kerja-kerja pembinaan bermula Julai 2023 dan siap pada Februari 2024.
Bangun bakat
Kemudahan pada litar itu termasuk sistem masa automatik Mylaps, lampu isyarat amaran LED PixelCom, liputan kamera tertutup, ruang parkir, platform untuk 200 penonton, ruang paddock, bilik solat, tandas dan kafe.
Litar sepanjang satu kilometer itu juga direka dengan pilihan sehingga 12 susunan laluan dengan 13 selekoh mengikut keperluan latihan serta jentera lumba.
Terdapat 10 tenaga pengajar yang terdiri daripada bekas-bekas pelumba berpengalaman bagi mengasah bakat anak muda berlumba secara profesional di litar itu.
Pembangunan bakat bermula umur empat tahun hingga 16 tahun dan kategori mengikut piawaian antarabangsa sebelum ke perlumbaan motosikal dan go-kart yang sebenar.
Bagi mengenalpasti bakat berlumba dalam kalangan kanak-kanak dan awal remaja, HBC akan menganjurkan Kejohanan Pocket Bike & Sodi Kart OMR KBS sekitar Disember.
Modul latihan juga dirangka untuk bakal pelumba seawal umur empat tahun menerusi pengenalan kepada jentera seperti enjin dua lejang berkapasiti 40cc hingga 50cc serta cara pengendalian dan menunggang yang betul.
Kebiasaannya aktiviti tersebut dijalankan di litar sementara yang direka khas di kawasan lapang atau kawasan tempat letak kereta.
Pendedahan melalui perlumbaan motosikal sebenar pula mengikut kategori berdasarkan umur seperti permulaan (rookie) bawah 10 tahun, novice (bawah 13 tahun), expert (bawah 17 tahun) atau master berusia 18 tahun ke atas.
Manakala tiga kategori bagi acara go-kart pula melibatkan junior bagi umur 12-15 tahun, expert (16-21 tahun) dan master 21 tahun ke atas.
Mohamad Yusaini yakin bintang muda sukan permotoran mampu dilahirkan di litar itu dalam tempoh 10 tahun melalui pendedahan dunia permotoran pada peringkat akar umbi.
“Kita kena ada ekosistem daripada awal peringkat akar umbi. Kalau tak ada ekosistem, apabila mereka dididik oleh rakan sekampung, itu yang jadi mat rempit.
“Kita nak lahirkan satu bintang dari Beranang atau kalau boleh dari Selangor. Ada seseorang yang berbakat, kita nak jadikan kenyataan. Kita tak tahu 10 tahun lagi, diangkat jadi juara dunia, dari kecil lagi dia berlatih di Beranang, Selangor,” katanya.
[caption id="attachment_665631" align="aligncenter" width="700"]
Aksi pelumba cilik berlumba di dalam litar baru selepas Majlis Perasmian Litar Horizon Beranang (HBC) di Taman Perindustrian Mahkota, Beranang, Hulu Langat pada 8 Ogos 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]


