SEPANG, 28 SEPT: Kerajaan Negeri bersimpati terhadap nasib anak-anak pengikut Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) selain sedia memberikan bantuan.
Dato’ Menteri Besar berkata keutamaan diberikan kanak-kanak tersebut memulakan kehidupan baharu serta membina masa depan lebih baik termasuk dalam aspek pendidikan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, pihaknya kini menunggu laporan penuh siasatan GISBH yang akan dibentangkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebelum negeri membuat tindakan susulan.
“Rabu depan kita akan dapat laporan mengenai jumlah keseluruhan premis dan sekolah dikaitan dengan GISBH, setakat ini yang dikesan di Bandar Country Homes.
“Daripada laporan, saya mahu teliti nasib anak-anak yang tidak bersekolah ataupun ditahan pihak berkuasa sekarang. Negeri akan memberi perhatian mengenai pendidikan dan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Projek Rumah Idaman, Putra Idaman di Galeri Jualan Myra Cove di sini, hari ini.
[caption id="attachment_665394" align="alignnone" width="793"]
Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari merasmikan Majlis Pelancaran Rumah Idaman di Cyberjaya, Sepang pada 28 September 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin turut berkata Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jais menutup rumah perlindungan dan sekolah agama yang dikesan mempunyai kaitan dengan GISBH.
“Di Country Homes kita telah buat serbuan, kawalan dan rampasan beberapa aset mereka.
“Kalau ada lagi maklumat mengenai berapa jumlah lain dikesan, kita akan ambil tindakan. Semuanya saya akan dapat melalui laporan pada Rabu depan,” jelasnya.
Sabtu lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mezahirkan rasa kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.
Berikutan itu Baginda menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan tegas terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.
Baginda juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.
Sebelum ini, polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung selepas menyerbu 82 premis seperti rumah amal, klinik, maaahad serta kediaman persendirian dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.
Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.


