Oleh Nazli Ibrahim
Negara gempar selepas polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja antara setahun hingga 17 tahun di 18 rumah amal berkaitan syarikat GISB Holdings (GISBH) di Selangor dan dua di Negeri Sembilan.
Menerusi Op Global, polis mendapati mereka diabai, tidak bersekolah, dijadikan buruh paksa selain ada yang dianiaya secara seksual oleh penjaga.
Sejak itu, beberapa premis berkaitan GISBH di seluruh negara diserbu dan pelbagai salah laku syarikat yang digerakkan bekas ahli al-Arqam itu dibongkar.
Berikut pendedahan termasuk daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Husain sejak Op Global dilancar pada 11 September berhubung kegiatan jenayah GISBH.
- 13 kanak-kanak diliwat berdasarkan saringan perubatan 384 penghuni di 20 rumah perlindungan. Mereka juga diajar dan dipaksa meliwat penghuni lain
- kanak-kanak didera dengan objek seperti sudu panas dan rotan selain dipukul dan dada ditekan sebagai hukuman. Mereka juga kekurangan zat makanan
- empat beradik berusia enam hingga 11 tahun terpisah daripada bapa sejak 2021 ditemui
- terdapat ahli GISBH ada 34 anak namun dua tinggal bersamanya dan tidak tahu nama anaknya yang lain
- kanak-kanak di rumah amal didoktrin mereka ialah anak yatim dan tidak kenal ibu bapa sendiri
- helaian janggut dalam bekas khas, 455 risalah dan logo berkaitan al-Arqam dirampas di rumah pengurusan GISBH di Rawang
- 138 buku dan jadual zikir berkaitan Aurad Muhammadiyah, 12 gambar pengasas al-Arqam Ashaari Mohammad ditemukan dalam serbuan 19 premis di Melaka
- enam buku berkaitan ajaran Aurad Muhammadiyah di empat premis dirampas di Pulau Pinang
- buku serta dokumen ajaran Aurad Muhammadiyah ditanam di tepi sungai selain dibakar berdekatan rumah keluarga ketua pegawai eksekutif GISBH di Kampung Panji, Kota Bharu (foto)
- ahli GISBH tinggalkan amaran bertulis; “musuh-musuh kena tunggu di akhirat kerana yang kami hadapi di dunia, di sana lagi dahsyat berlipat kali ganda” ketika serbuan di banglo mewah disewa GISBH di Kampung Mengabang Panjang, Kuala Nerus
Reaksi pihak berkuasa agama
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat. Semua rumah amal dan sekolah agama bawah GISBH yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat jenayah syariah juga dititahkan untuk ditutup
Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor menutup lapan sekolah Islam persendirian berkaitan GISBH pada 23 September. Mais juga ambil alih Masjid Cahaya Iman dan menutup musolla Ikhwan di Rawang
DYMM Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan polis menyiasat isu jenayah dan penganiayaan kanak-kanak berkaitan GISBH secara menyeluruh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar memberitahu doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) antara 24 hingga 26 September. Ia akan dibawa ke MKI sebelum dirujuk ke Majlis Raja-Raja pada 10 Oktober
KRONOLOGI SERBUAN DAN PENDAKWAAN
11 September
Polis serbu 20 rumah di Selangor dan Negeri Sembilan serta tahan 171 individu atas kes eksploitasi kanak-kanak dan agama
12 September
Remaja perempuan 19 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan dera fizikal empat kanak-kanak perempuan lima hingga enam tahun di pusat asuhan berkaitan GISBH
13 September
Polis terima 41 laporan berkaitan GISBH sejak 2011 hingga September tahun ini
17 September
Polis sahkan 96 akaun GISBH dibeku serta empat akaun ditutup melibatkan nilai lebih RM581,000. Tiga kertas siasatan diserah kepada Jabatan Peguam Negara
18 September
Ahli GISBH Mohamad Riza Makar mengaku tidak bersalah mengugut wanita pada 9 September di Mahkamah Majistret Putrajaya
19 September
19 individu termasuk pengurusan tertinggi, isteri serta beberapa pemimpin GISBH direman tujuh hari
Tiga pembantu pengajar madrasah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan berkaitan GISBH didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban kerana amang seksual terhadap lima kanak-kanak pada 2022 dan 2023
20 September
Tujuh lagi individu berkait GISBH ditahan atas kes pemerdagangan orang termasuk anak bekas pemimpin al-Arqam Allahyarham Ashaari Mohammad
Seorang lagi pembantu pengajar madrasah di Kuala Pilah didakwa melakukan amang seksual terhadap empat kanak-kanak lelaki, tahun lepas di Mahkamah Sesyen Seremban
21 September
Op Global memasuki fasa keempat dengan serbuan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan


