AGENDA

Perkenan permohonan ampun, Sultan nasihati Sanusi jaga tutur kata

26 Sep 2024, 7:46 AM
Perkenan permohonan ampun, Sultan nasihati Sanusi jaga tutur kata

SHAH ALAM, 26 SEPT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menerima permohonan maaf dan menasihati Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor supaya menjaga tutur kata dan tatasusila.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut berpesan supaya Muhammad Sanusi tidak terlalu beremosi dan menggunakan perkataan tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat terutama di Selangor.

"Beta dengan ini berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Dato’ Seri atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu," titah Baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.

"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas dalam permohonan maafnya."

Baginda turut menegaskan tidak mahu rakyat Selangor terpengaruh dan terbiasa mendengar kata-kata kesat dan tohmahan yang tidak berasas, terutama daripada golongan pemimpin.

Pada masa sama, Sultan Selangor bertitah kelakuan dan tutur kata yang baik amat penting untuk masa depan karier politik Muhammad Sanusi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri.

"Sebagai seorang pemimpin, Dato’ Seri harus memikirkan kesan yang akan diperolehi dari setiap tindak tanduk yang telah dilakukan. Akhir sekali Beta berharap semoga Dato’ Seri akan terus berjaya dan dipermudahkan di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab," titah Baginda.

Terdahulu, Sultan Selangor disembah maklum surat permohonan maaf Muhammad Sanusi yang dituduh di mahkamah kerana dianggap menghina dan tidak menghormati Baginda.

Selain Sultan Selangor, Muhammad Sanusi juga memohon maaf kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung kenyataannya, yang turut meremehkan pelantikan Dato’ Menteri Besar.

Pada 18 Julai 2023, beliau dituduh di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung kenyataannya itu, yang dibuat menjelang kempen pilihan raya negeri di Taman Selayang Mutiara, Gombak.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.