Oleh DANIAL DZULKIFLY
Suruhanjaya air negeri akan dibentuk bertujuan menyelia dan menguruskan semua perkara berkaitan air di Selangor. Ia termasuk air terawat, mentah dan air kumbahan dan projek membina lebuh raya air bernilai RM5 bilion.
Penubuhan badan berkenaan sebahagian strategi Kerajaan Negeri meningkatkan kawalan dan pengurusan aset airnya, sekali gus mengurangkan kejadian banjir di Lembah Klang.
Sehubungan itu, satu perancangan dibuat supaya jawatankuasa Skim Keselamatan Air Mentah (SJAM) negeri yang menyelia bekalan air terawat di Selangor dapat dinaiktaraf menjadi Suruhanjaya Air Selangor (SAS).
Ia akan menyatukan semua pihak berkuasa pengurusan air termasuk Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).
Turut dipertimbangkan ialah pengambilalihan bahagian Selangor dalam syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd dan meletakkannya di bawah bidang kuasa SAS.
Bagaimanapun, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim yang mendedahkan perkara itu tidak memberikan garis masa yang pasti bila langkah itu akan selesai.
“Pada asasnya, negeri memerlukan rangka kerja undang-undang yang kuat untuk melindungi sumber airnya. Sebab itu kita juga melihat kemungkinan mengambil alih IWK Selangor.
“SAS akan membolehkan pengurusan aset air yang lebih bersepadu di negeri ini. Sehingga kini, tiada negeri lain yang melaksanakannya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Luas ditubuhkan mengikut Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 dan bertanggungjawab dalam pengurusan sumber air di Selangor.
Agensi itu menyelia lembangan sungai, sumber air bawah tanah, air permukaan, tasik, kolam, bekas kolam perlombongan dan kawasan pantai melalui pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) dan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM).
Air Selangor pula penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia, membekalkan air bersih dan terawat kepada 9.3 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Ia mengendalikan 34 loji rawatan air di 11 wilayah di Lembah Klang.
Izham menjelaskan, SAS tidak akan bercanggah dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), sambil menegaskan pengurusan air kekal sebagai urusan negeri.
Beliau juga menyatakan, SPAN tidak menguruskan air kumbahan, menonjolkan peranan unik bakal dimainkan SAS apabila ditubuhkan kelak.
Suruhanjaya itu sebahagian pelan pengurusan bersepadu air negeri yang merangkumi perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi aset air dan strategi tebatan banjir.
Pada masa ini, jawatankuasa SJAM, kerjasama antara agensi dan pihak berkuasa tempatan bertanggungjawab menguruskan sumber air di negeri ini termasuk projek infrastruktur berkaitan air.
[caption id="attachment_630605" align="alignnone" width="884"]
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim (kanan) melawat tapak projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) di Kolam HORAS 600 Kampong Sungai Darah, Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 26 Februari 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]
Lebuh raya air
Empat projek utama di bawah SJAM melibatkan pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem pengepaman dan kerja-kerja berkaitan di pelbagai tapak.
Ia membabitkan Sistem Peningkatan Hibrid Pinggir Sungai (Horas) 600 di Bestari Jaya, Kuala Selangor (Pakej A), Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang di Kuala Selangor (Pakej B), LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 di Bestari Jaya (Pakej C), dan LRA Sungai Semenyih di Jenderam Hilir (Pakej D).
Projek-projek itu dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun ini dan semua sumber air utama seperti sungai dan kolam dihubungkan bagi memastikan keselamatan air.
Mengenai lebuh raya air bernilai RM5 bilion, projek itu akan menghubungkan laluan air di Kuala Lumpur terus ke Sungai Klang dan kemudiannya mengalir ke laut.
Butiran terperinci masih dibincangkan, namun konsepnya sama seperti saluran atau terowong besar menyalurkan lebihan air dari Kuala Lumpur terus ke laut.
Lebuh raya itu terdiri daripada beberapa titik penurunan utama, terutamanya di tanah pamah di Lembah Klang yang terdedah kepada banjir.
“Ideanya menyalurkan semua air yang terkumpul di Kuala Lumpur dan bawa terus ke laut supaya ia tidak menyebabkan banjir di sepanjang sungai utama di Lembah Klang.
“Jadi, jika terdapat sebarang keabnormalan paras air seperti yang disebabkan oleh hujan, ia akan membawa air terus ke laut,” katanya.
Izham berkata, lebuh raya air berkenaan dijangka mempunyai diameter sekurang-kurangnya lapan hingga sembilan meter membantu menyelesaikan isu banjir di Lembah Klang.
"Kami juga boleh menggunakan lebuh raya untuk menyimpan lebihan air di dalam takungan berhampiran laut, yang boleh digunakan semasa kecemasan seperti kemarau."
Cadangan itu sudah dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
“Kami juga memaklumkan cadangan tersebut kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Projek ini adalah satu lagi pengubah permainan, tetapi ia mesti dilaksanakan dengan betul,” kata Ir Izham.


