PENDAPAT

Sanggup berlakon atas longgokan sampah demi jayakan filem aksi Pungut

24 Sep 2024, 9:20 AM
Sanggup berlakon atas longgokan sampah demi jayakan filem aksi Pungut
Sanggup berlakon atas longgokan sampah demi jayakan filem aksi Pungut
Sanggup berlakon atas longgokan sampah demi jayakan filem aksi Pungut

Oleh INTAN SYUHADA AKHIR

Sanggup bergolek dan bergelumang dengan longgokan dipenuhi sisa makanan, najis dan bahan buangan yang menjijikkan semata-mata melakonkan babak pertarungan.

Malah, pelakon seni bela diri Fad Anuar, 35, rela berkampung selama hampir sebulan di pusat pelupusan sampah terbesar di pulau Langkawi, Kedah demi menjayakan filem aksi Pungut.

Dek filem itu juga, beliau berdepan risiko terkena penyakit berjangkit dan kesan sampingan kesihatan lain akibat diam lama di tempat pembuangan sisa pepejal.

Menurut Fad yang juga anak saudara kepada pelakon popular Eman Manan, dia mengakui bukan mudah menahan bau busuk daripada tapak yang dipenuhi longgokan sampah setiap hari.

Beliau dan rakan pelakon lain serta kru penggambaran juga perlu berjaga-jaga dengan risiko terhidu gas beracun yang berbahaya dan boleh menyebabkan penyakit.

 

[caption id="attachment_664813" align="aligncenter" width="755"] Pelakon seni bela diri Fad Anuar, 35,[/caption]

“Lebih teruk kalau selepas hujan, waktu itu semua bau akan naik dan lebih busuk. Saya masih ingat hari pertama di sana, saya tidak boleh tahan bau sampah.

“Bayangkan, 500 meter sebelum sampai pun kita sudah boleh bau busuknya tempat itu. Sakit kepala menahannya.

“Saya perlukan tiga hingga empat hari untuk tubuh saya benar-benar beradaptasi dengan bau itu. Selepas itu, entah kenapa saya rasa biasa, sudah tidak bau busuk,” katanya kepada Selangorkini pada 22 Ogos.

Pernah bekerja dengan pengarah Areel Abu Bakar menerusi filem Geran dan Walid, Fad bersedia melakonkan adegan aksi atas longgokan sampah yang diperlukan mengikut skrip.

Namun, jelas Fad, bertarung di tempat pelupusan sampah memerlukan langkah keselamatan yang lebih teliti.

“Oleh itu kami ada SOP (tatacara operasi piawai) di mana pihak produksi akan semak sama ada kami ada luka atau sebaliknya setiap hari.

“Syukurlah setiap babak perlawanan dilakukan dengan baik tanpa ada kecederaan. Cuma ada beberapa lokasi kami dilarang masuk,” tambahnya.

Selain itu, Fad yang juga anak jati Terengganu mengakui sangat mencabar membawakan watak Omar yang memintanya bertutur dalam loghat Kedah.

Justeru, dia mengambil inisiatif membuat kajian dan duduk belajar dengan mereka yang tinggal di negeri jelapang padi itu.

“Walaupun sebelum ini saya ada melakonkan filem Geran dalam loghat Kedah, tapi menerusi Pungut, cara bertuturnya lebih pekat.

“Ada beberapa perkataan hanya dituturkan oleh orang-orang lama di Kedah. Jadi saya perlu perincikan perkataan tersebut,” tambahnya.

Aksi silat

Diterbitkan syarikat produksi Studio Screen, filem Pungut membawa penonton menyusuri kepayahan hidup pemungut sampah yang mencari rezeki di tempat yang dianggap geli dan menjijikkan.

Naskhah itu ditayangkan di pawagam seluruh negara selama dua minggu sejak 29 Ogos bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Sarat dengan aksi persilatan, Pungut mengisahkan tentang perebutan kuasa dan tanah oleh Salleh lakonan Ruzaidi Abdul Rahman dan Din Cengkoi yang dilakonkan Aman Graseka.

Sementara itu, Fad mendedahkan pelakon filem Bad Boys: Ride Or Die iaitu Dennis Greene Mcdonald mahu mempelajari seni mempertahankan diri daripadanya.

Beliau berkata, Dennis menghantar mesej langsung kepadanya melalui Instagram pada awal Ogos, memberitahu tertarik dengan aksi pertarungan lakonannya sehingga berminat mahu memaparkan seni silat dalam projek filem terbaharunya.

“Saya terus cadang dia belajar bersilat sebab kalau dia berjaya buat, dia akan jadi pelakon berkulit gelap pertama di dunia yang melakukan seni mempertahankan diri tersebut.

“Dia bersetuju dengan cadangan saya cuma sekarang ini dia perlu berbincang dulu dengan pengurus dia dan agak sibuk dengan beberapa hal di sana,” kata Fad.