SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri berhasrat memperkasa semua program pemberdayaan rakyat menerusi Belanjawan Selangor 2025 yang bakal dibentang pada November depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program kebajikan sedia ada akan disemak semula bagi memastikan ia memberi nilai tambah atau diperkenal sebagai program bantuan baharu.
[caption id="attachment_664760" align="aligncenter" width="815"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap merasmikan majlis Dialog Belanjawan Negeri Selangor tahun 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 24 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Sejak 2008, Selangor terkenal sebagai negeri pemurah yang menghargai rakyat. Kita memberikan pemberian yang memberdayakan rakyat dan bukannya berunsur populis.
“Namun begitu, kita perlu lihat balik adakah ia beri nilai tambah. Program pemerkasaan ini harus disemak balik dan kita boleh perkenalkan program baharu yang lebih sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Dialog Belanjawan Selangor 2025 di Pusat Konvensyen Setia City di sini, hari ini. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.
Selain itu, Amirudin menambah, program perumahan rakyat dan kebajikan masyarakat menua turut diberi tumpuan.
Jelasnya, program Rumah Selangorku serta Rumah Idaman dan Rumah Harapan yang diperkenal ketika pandemik Covid-19 merupakan kaedah Kerajaan Negeri mempertahan sektor terbabit yang berdepan krisis ketika itu.
[caption id="attachment_640862" align="aligncenter" width="739"]
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melihat replika Rumah Selangorku Lagenda Ardea selepas majlis pecah tanah di tapak pembinaan Lagenda Ardea, Bernam Jaya, Hulu Selangor pada 3 Mei 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
“Sama ada program perimahan itu perlu dikemaskini atau dikembalikan semula, kita perlu lihat. Saya percaya kita telah berjaya mengimbangi dan menyesuaikan semula harga perumahan.
“Kita juga perlu melihat kos rumah kebajikan warga emas. Bagaimana kita mahu sediakan kos yang lebih baik kepada warga emas kerana kita ke arah negara menua menjelang 2030,” katanya.
Dialog Belanjawan Selangor 2025 yang melibatkan lebih 100 pemegang taruh dibahagikan kepada lima kumpulan iaitu Kemampanan Hasil Selangor, AI, Selangor Berdaya Tahan, Pemberdayaan dan Pengupayaan Kebajikan Rakyat, serta Perumahan.


