Nooraihan Che Li, seorang wanita kurang upaya memenangi Anugerah Ikon Program Insentif Digital Media Usahawan Wanita Muda (USAHAWANITA) atas kejayaan perniagaannya.
Syarikat menjual barang keperluan rumah ditubuhkan pemegang Diploma Komunikasi Massa Universiti Teknologi Mara pada 2018 itu, meraih jualan tahunan melebihi RM1 juta.
Anugerah disampaikan kepada ibu dua anak itu oleh EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Anfaal Saari dalam satu majlis di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam pada 19 Julai.
[caption id="attachment_664624" align="aligncenter" width="814"]
Pengarah Urusan BNG Nooraihan Che Li bersama sebahagian trofi yang diterima di pejabat BNG Homeware Hub, Semenyih, Kajang pada 1 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kejayaan perniagaan wanita berumur 44 tahun itu bermula daripada penyakit dideritainya sejak sembilan tahun lalu yang mengubah hidupnya.
Pada 2015, wanita asal Raub, Pahang itu menghidap penyakit saraf yang menukar dirinya daripada seorang yang ceria kepada insan lumpuh dan terbaring di katil.
Hanya mampu menggerakkan tangan kiri dan kaki kanan, beliau turut disahkan menghidap barah tulang. Hospital menjadi rumah keduanya dek terlalu kerap berulang-alik mendapatkan rawatan.
Nooraihan pernah dua kali ditahan di wad untuk tempoh lebih tiga bulan sehingga duit simpanannya RM30,000 habis kerana menampung kos rawatan dan keperluan lain.
Kerap cuti sakit panjang hingga ada melebihi dua tahun membuatkan bekas penjawat awam ini meletakkan jawatan.
Akibatnya, beliau dan suami mengalami masalah kewangan lantaran menanggung kos perubatan tinggi selain keperluan hidup.
Situasi itu mendorong Nooraihan berniaga kecil-kecilan dari katil hospital dengan menjual kek lapis Sarawak untuk membantu suami yang juga seorang penjawat awam.
"Saya jumpa kek lapis Sarawak di Facebook dan minta jadi ejen. Masa saya di atas katil hospital saya memuat naik jualan saya.
"Alhamdullilah dengan bantuan seorang rakan yang mempunyai ramai pengikut di Facebook kek lapis saya tular dan dapat sambutan. Dapatlah menampung perbelanjaan kami," katanya ketika ditemui di BNG Homeware Hub di Bandar Rinching, Semenyih pada 1 Ogos.
Bisu setahun
Walau kek lapis Sarawak yang dijual mendapat sambutan namun terpaksa dihentikan apabila Nooraihan perlu menjalani pembedahan tulang pada 2017.
Beberapa bulan selepas pembedahan, beliau menjadi bisu selama setahun berikutan peti suara rosak kesan daripada penyakit sarafnya.
Penyakit sama juga menyebabkan matanya terlalu sensitif dengan cahaya menjadikan beliau buta sementara selama enam bulan.
"Bisu setahun jugalah. Selepas setahun dapat suara semula, 'hilang' pula mata, 'buta' sementara. Saya terpaksa berhenti sekejap jual kek lapis.
“Lepas itu saya mula semula tetapi perlahan dan kemudian barulah saya fokus kepada barang keperluan rumah," katanya.
Bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, Nooraihan beralih pula kepada perniagaan barangan keperluan rumah pada 2018.
Bermodal RM300, wanita tabah ini menubuhkan syarikat menjual pinggan mangkuk, periuk, bekas minuman dan lain-lain perkakas rumah jenama dari Itali melalui dalam talian seperti Shopee, Lazada dan TikTok.
[caption id="attachment_664623" align="aligncenter" width="813"]
Pengarah Urusan BNG Nooraihan Che Li memeriksa stok barang produknya di pejabat BNG Homeware Hub, Semenyih, Kajang pada 1 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Bermula di kuarters tempat tinggal mereka, produknya cepat mendapat sambutan. Pada 2019, Nooraihan menyewa rumah kedai untuk dijadikan stor dan tempat operasi perniagaan.
Menjelang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada Mac 2020, jualannya melonjak kepada kira-kira RM100,000 sebulan.
Produknya juga bertambah seperti ketuhar, pemanggang, pengisar makanan, mesin kopi dan lain-lain.
Berikutan permintaan semakin tinggi, beliau menyewa gudang di Semenyih untuk dijadikan tempat penyimpanan stok dan tempat operasi perniagaan.
Selepas PKP, sekali lagi beliau memindahkan stor dan operasi perniagaan di sebuah rumah kedai tiga tingkat yang lebih selesa.
Dibantu 10 pekerja, perniagaannya kini mempunyai 30 orang ejen aktif di samping ratusan pemilik akaun media sosial yang membuat jualan bagi mendapatkan pendapatan tambahan.
[caption id="attachment_664622" align="aligncenter" width="816"]
Pengarah Urusan BNG Nooraihan Che Li membuat jualan secara dalam talian di pejabat BNG Homeware Hub, Semenyih, Kajang pada 1 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Selain usaha gigih dan dorongan suami, Nooraihan menyifatkan ilmu diperolehi dalam Program Modul Bersepadu Bina Bangun Usahawan (BIZUP) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor disertainya pada 2023 turut menyumbang pencapaiannya hari ini.
"Walaupun saya orang kurang upaya tetapi saya reda, sentiasa belajar hingga berjaya buktikan ia bukan penghalang untuk saya berjaya," katanya.
[caption id="attachment_664626" align="aligncenter" width="754"]
Pengarah Urusan BNG Nooraihan Che Li membantu pekerjanya membungkus barang yang dipesan olebh pelanggan di pejabat BNG Homeware Hub, Semenyih, Kajang pada 1 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]


