AGENDA

Mais: Sekolah terlibat GISBH akan dibatal pendaftaran

22 Sep 2024, 11:20 AM
Mais: Sekolah terlibat GISBH akan dibatal pendaftaran
Mais: Sekolah terlibat GISBH akan dibatal pendaftaran

SHAH ALAM, 22 SEPT: Sekolah Islam yang terlibat atau terkait dengan kumpulan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) akan ditutup dan dibatalkan pendaftarannya.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata tindakan itu merupakan langkah serius pihaknya selain mengadakan tindakan bersepadu dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) serta polis.

“Mais juga akan memastikan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor membuat keputusan segera bagi hasil kajian dan penelitian terhadap GISBH.

“Jais akan membentang laporan dalam mesyuarat Mais pada 24 September ini manakala Jabatan Mufti Negeri Selangor bersidang 30 September bagi memutuskan status ajaran GISBH,” kata Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menerusi kenyataan.

[caption id="attachment_663306" align="alignleft" width="500"] Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof ditemui pada program serahan Jalur Gemilang dan ziarah merdeka Mais di lobi Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada 28 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan kesalahan dilakukan GISBH atau rangkaiannya yang disyaki terlibat jenayah serta penyelewengan agama Islam.

Semalam Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap hasil pembongkaran kegiatan GISBH yang disyaki melakukan jenayah berat.

Berikutan itu Baginda menitahkan pihak berkuasa agama dan polis segera mengambil tindakan terhadap GISBH selain mahu rumah amal dan sekolah agama bawah kawalan kumpuan itu yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dalam jenayah syariah ditutup.

Baginda juga menggesa Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor meneliti seterusnya memutuskan persoalan sama ada amalan GISBH menyeleweng atau bercanggah ajaran Islam sebenar.

Terdahulu polis menyelamatkan 186 mangsa menerusi Op Global fasa empat di seluruh Semenanjung selepas menyerbu 82 premis seperti rumah amal, klinik, maaahad serta kediaman persendirian dipercayai mempunyai kaitan dengan GISBH.

Ketika serbuan di Kelantan, polis menemui puluhan buku berkaitan doktrin diperjuangkan organisasi itu yang ditanam di tepi sungai berhampiran kediaman kumpulan itu di Kampung Panji, Kota Bharu selain ada yang dibakar dipercayai bagi menghapuskan bukti selain mengelak daripada dirampas pihak berkuasa.

Pada 11 September, polis menahan 171 individu dalam serbuan ke atas 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.