KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pendidikan politik dan kenegaraan perlu terus diperkukuh bagi memastikan Malaysia tidak ketandusan pelapis berkaliber untuk memimpin negara ke arah lebih progresif pada masa depan.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata beliau mahu lebih banyak program literasi politik dan kenegaraan dianjurkan bagi mendidik pimpinan muda supaya celik isu di sekeliling mereka.
[caption id="attachment_664416" align="alignnone" width="725"]
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sesi khas dialog Pondok Siyasah bersama Dato’ Menteri Besar di Kuala Lumpur pada 21 September 2024. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Kemahuan kita untuk berfikir sejenak tentang negara, masyarakat dan generasi masa depan saya rasa adalah satu perkara yang terpuji dan harus diperbanyakkan.
“Gunakan ruang anda (yang sesuai) untuk membawa perubahan. Contohnya saya sebagai Menteri Besar, cubalah buat apa yang mampu di peringkat saya. Kalau anda ibu, bapa, masyarakat atau komuniti, cuba gerakkan perubahan ke arah kebaikan sesuai peringkat anda,” katanya pada sesi khas dialog Pondok Siyasah bersama Dato’ Menteri Besar di sini, hari ini.
Sementara itu, peserta Muhammad Ridhwan Rohaizat, 23, berkata program Pondok Siyasah mengupas pelbagai perkara yang bukan saja memberi ilmu baharu kepada tetapi pencerahan mengenai beberapa topik.
[caption id="attachment_664440" align="aligncenter" width="748"]
Muhammad Ridhwan Rohaizat, 23,[/caption]
“Contohnya pencerahan daripada segi politik Islam itu sendiri, setakat mana keterbukaannya dan di mana hadnya untuk kita amalkan dalam politik.
“Untuk kepimpinan pula ada satu modul yang mengajar cara kita berfikir berdasarkan perlembagaan yang membuka mata bahawa pentingnya memahami perlembagaan negara kita,” katanya.
Bagi Graduan Universiti Yarmouk Jordan Nurul Huda Veddin, 24, pula berkata Pondok Siyasah berkait rapat dengan pembangunan negara bangsa.
[caption id="attachment_664441" align="aligncenter" width="815"]
Nurul Huda Veddin, 24,[/caption]
“Bila kita bertahun-tahun di negara orang, adakalanya kita akan rasa terputus dari realiti dalam negara sendiri dan ada rasa kejutan budaya.
“Bila ada program ini saya rasa ‘dekat’ semula dan rasa lebih memaknai identiti sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Pondok Siyasah merupakan program pendidikan politik yang bertujuan mendedah dan menyebarkan literasi politik Islam yang sederhana serta jalinan antara warisan pemikiran Islam silam dan wacana semasa serta meraikan realiti konteks Malaysia.
Program yang diadakan sejak awal 2023 ini dimuatkan dengan modul yang telah dibina dengan hasrat menangani kecenderungan ekstremisme serta pemahaman teks politik Islam secara literal tanpa meraikan konteks Malaysia.


