ad
AGENDA

KPT beri kerjasama kepada polis siasat pensyarah, pelajar jika terlibat GISBH

21 Sep 2024, 1:30 PM
KPT beri kerjasama kepada polis siasat pensyarah, pelajar jika terlibat GISBH

LUMUT, 21 SEPT: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis jika terdapat pensyarah atau pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dengan ajaran dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia bagi memastikan IPT bebas daripada sebarang bentuk dakyah dibawa GISBH.

“Perkara ini adalah dalam bidang kuasa polis yang telah bentuk satu pasukan khas bagi melaksanakan tanggungjawab telah diberikan.

“Ia (siasatan) akan melibatkan semua, tak kira sama ada dia pelajar atau pensyarah universiti. Bermakna, tindakan yang diambil adalah secara menyeluruh,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan kementerian sekiranya terdapat pensyarah dan pelajar yang terlibat dengan GISBH.

Dalam serbuan Op Global pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja dari 20 rumah amal dikaitkan dengan GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi buruh dan seksual.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain hari ini berkata jumlah terkini tangkapan berkaitan serbuan ke atas GISBH adalah seramai 200 orang.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.