Oleh NADIAH ZAMLUS
Orang ramai tidak lagi perlu bersusah-payah menunggu lori jualan murah di tempat tinggal masing-masing dan beratur panjang membeli barangan dapur pada harga berpatutan.
Sebaliknya, barangan asas pada harga 10 hingga 15 peratus lebih rendah daripada pasaran boleh didapati di pasar raya Ehsan Mart kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Ehsan Mart diwujudkan sebagai penambahbaikan program Jelajah Ehsan Rahmah (JER), menyasarkan pembukaannya di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang 2027.
Sejak dilancarkan pada 2022, JER mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat negeri ini. Lebih 4,000 lokasi dilawati JER dengan jumlah perbelanjaan subsidi sebanyak RM58.7 juta oleh Kerajaan Selangor.
Dek sambutan memberang-sangkan itu, PKPS memutuskan untuk membuka pasar raya Ehsan Mart pertama di Sungai Tua pada 9 September.
“Pembukaan pasar raya Ehsan Mart ini diharapkan dapat memperkasakan lagi program JER dengan menyediakan platform jualan statik yang mudah diakses oleh masyarakat setempat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Wira Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.
Dua lagi pasar raya berkenaan bakal dibina tahun ini di Pandan Indah dan Hulu Kelang, meluaskan lagi capaian rakyat untuk mendapatkan barangan asas pada harga berpatutan.
“Pelanggan memang tidak putus-putus datang ke kedai. Mereka suka beli ayam di sini, murah. Kita jual ayam segar tapi kena bekukan supaya kesegarannya terjamin.
“Selain itu ada yang datang dapatkan produk-produk keluaran PKPS iaitu jenama Ehsan. Mereka kata murah dan barangnya pun elok,” kata pekerja Ehsan Mart cawangan Sungai Tua, Farah Mohd Taha.
Minyak dan beras jenama itu antara produk pilihan utama pelanggan sejak tiga tahun lalu. Ketua pegawai eksekutif PKPS berkata sebanyak 288,000 botol minyak masak seberat lima kilogram (kg) dan lebih sejuta kampit beras terjual dalam tempoh itu.
Menggalakkan lebih banyak produk ditawar pada harga berpatutan, PKPS mensasarkan kira-kira 50 produk jenama Ehsan dikeluarkan menjelang hujung tahun ini.
Setakat Mei, terdapat 30 unit penyimpanan stok termasuk barangan asas seperti tepung gandum, kordial, bihun, sos tomato, sos tiram, kaya pandan, kaya madu, sardin dan cili giling.
Agensi negeri ini turut mempelawa usahawan dan peniaga sekitar Selangor menjadi pengedar produk jenama Ehsan. Permohonan dibuka kepada peniaga persendirian dan koperasi berdaftar di Selangor.
Bukan sekadar tawarkan harga lebih murah, pembukaan pasar raya itu salah satu usaha Kerajaan Negeri untuk sentiasa proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barang dan keselamatan makanan.
"Ehsan Mart diharap dapat menjadi pendekatan strategik untuk mendekati rakyat serta membantu meringankan beban kos sara hidup," kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 9 September.
------------------------------------------------------------
“Lega sebab tidak perlu lagi tunggu trak JER lepas ini dan tidak perlu lagi berebut untuk dapatkan nombor atau beratur panjang sejak awal pagi. Hanya datang ke kedai dan beli barang keperluan. Terima kasih Kerajaan Negeri kerana sediakan kemudahan ini terutamanya kepada golongan warga emas seperti saya.”
Che Siah Saad, 62, Suri rumah

“Saya dan suami gembira apabila tahu ada pasar raya Ehsan Mart tetapi saya harap ada lebih banyak pilihan barangan. Bantu keluarga kurang berkemampuan seperti saya berjimat. Sekarang kos hidup pun makin tinggi, harapnya bila ada pasar raya begini, dapat kurangkan kos.”
A Lecthumy, 61, Pesara

“Kali pertama saya datang ke Ehsan Mart dan tengok ada barang dengan harga ok. Macam ayam, beras. Baguslah buat begini. Tidak perlu lagi kami tunggu lori atau bersusah payah tunggu acara-acara tertentu. Kalau macam ini, hari-hari pun senang hendak beli barang dapur. Hendak pergi jauh-jauh pun kos minyak motosikal atau kereta.”
Nurdiyana Mursalim, 42, Kakitangan swasta


