ad
BERITA UTAMA

21 projek berimpak tinggi bakal dibangun di Kuala Selangor

17 Sep 2024, 12:00 PM
21 projek berimpak tinggi bakal dibangun di Kuala Selangor
21 projek berimpak tinggi bakal dibangun di Kuala Selangor

KUALA SELANGOR, 17 SEPT: Sebanyak 21 projek berimpak tinggi merangkumi ekonomi, pelancongan, keterjaminan makanan, sosial dan pemerkasaan masyarakat dirangka dalam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) 2035 (Penggantian) (RTMPKS 2035).

EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah berkata semua projek terbabit dijangka memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan kelestarian pembangunan di Kuala Selangor.

“Dalam konteks ini, perancangan dalam Draf RTMPKS 2035 (Penggantian) telah membentuk empat teras perancangan dengan merangka 40 strategi pembangunan dan 147 cadangan pembangunan.

“Selaras dengan itu, matlamat merancakkan ekonomi Kuala Selangor ke arah persekitaran berdaya tahan dan komuniti inklusif telah dikenal pasti bagi menyuntik pembangunan di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf RTMPKS 2035 di Dewan Eco Grandeur di sini, hari ini. Hadir sama Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri.

[caption id="attachment_663725" align="alignnone" width="945"] EXCO Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah (tengah) bergambar pada Majlis Perasmian Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPKS 2035 (Penggantian) di Eco Grandeur Hall, Bandar Puncak Alam pada 17 SEPTEMBER 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Selain itu, terdapat 10 cadangan pembinaan jalan baharu dirancang untuk menyuraikan trafik, khususnya di Puncak Alam yang akan menghubungkan ke beberapa lebuh raya, kata Borhan.

Menurut beliau, pembinaan tersebut dijangka membantu memudahkan pengunjung ke kawasan tarikan pelancongan di Kuala Selangor terutamanya menjelang Tahun Melawat Selangor 2025.

“Antara cadangan tersebut termasuklah mengubungkan Persiaran Puncak Alam 6 ke stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan terus ke susur keluar Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) bagi mengurangkan konflik trafik.

“Ini akan membantu orang ramai untuk sampai ke seluruh pelusuk kawasan pelancongan seperti kelip-kelip Kampung Kuantan, Bukit Melawati dan sebagainya,” katanya.

Laporan Draf RTMPKS 2035 (Penggantian) dipamerkan kepada awam selama sebulan bermula hari ini sehingga 16 Oktober menerusi laman sesawang MPKS dan PlanMalaysia Selangor.

Orang ramai boleh melihat laporan berkenaan secara dekat di beberapa lokasi seperti Jabatan Perancangan Pembangunan MPKS, PlanMalaysia negeri di Shah Alam dan Dewan MPKS, Saujana Utama.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.