ad
AGENDA

Pemain termuda Liga Super wanita diserap ke kelab gergasi Eropah

17 Sep 2024, 5:10 AM
Pemain termuda Liga Super wanita diserap ke kelab gergasi Eropah
Pemain termuda Liga Super wanita diserap ke kelab gergasi Eropah

SHAH ALAM, 17 SEPT: Pemain termuda Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Qaseh Rania Khairul Najib berjaya mencuri tumpuan VFL Wolfsburg untuk diserap ke kelab itu.

Bapanya, Khairul Najib Ibrahim berkata sesi percubaan pemain berusia 14 tahun itu di Jerman pada Ogos lalu mendapat perhatian kejurulatihan kelab gergasi Eropah berkenaan, lapor Sinar Harian.

"Alhamdulillah, selepas lima minggu sesi percubaan dengan VFL Wolfsburg, permainan dan kebolehan Qaseh Rania ini mendapat pujian daripada pihak kejurulatihan dan mereka bersedia menyerapnya dalam pasukan belia.

"Lebih membanggakan dia dapat masuk untuk dua pasukan iaitu bawah 15 tahun (B-15) dan bawah 17 tahun (B-17). Dia satu-satunya pemain yang berusia 14 tahun beraksi dalam pasukan B-17," katanya.

Menurut Khairul Najib, anak kedua daripada empat beradik itu juga diberi kepercayaan untuk bermain dalam beberapa perlawanan persahabatan di sana.

Katanya, bakat dimiliki Qaseh Rania turut disiarkan dalam laman sesawang rasmi VFL Wolfsburg bertajuk 'The Soccer Girl From Malaysia'.

[caption id="attachment_656403" align="alignnone" width="802"] Qaseh Rania Khairul Najib berlepas ke Jerman pada 6 Ogos 2024 bagi menjalani sesi percubaan bersama kelab VFL Wolfsburg. Foto Harun Tajudin/MEDIASELANGOR[/caption]

Buat masa ini, beliau mengakui mereka berdepan isu visa dan permit namun VFL Wolfsburg akan membantu urusan persekolahan Qaseh Rania sekiranya urusan itu dapat diselesaikan.

Khairul Najib berharap dan merayu sokongan bantuan daripada kerajaan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), syarikat atau mana-mana pihak untuk membantu anaknya.

"Sebelum ini, semuanya saya uruskan sendiri, namun apabila masuk kepada proses visa dan permit ini ia menjadi rumit.

"Dari segi visa mungkin tidak menjadi masalah, tetapi permit bermain itu agak sukar kerana UEFA hanya iktiraf ranking negara satu hingga 60 sahaja kalau nak main di Eropah. Jadi, prosesnya agak rumit.

"Sayang lah jika bakat Qaseh Rania disia-siakan dan bukan mudah untuk kelab Eropah seperti VFL Wolfsburg menawarkan tempat untuk beraksi dengan mereka," katanya.

Khairul Najib turut mengucapkan terima kasih kepada ketua wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Dato Kenhew Tze Kan dan Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

Tahun lepas, video pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong tersebut menjaringkan gol menerusi satu sepakan percuma menjadi tular di media sosial dan menjadi bualan orang ramai apatah lagi beliau bermain bersama pasukan lelaki ketika itu.

MBI juga pernah membantu membangunkan bakat Qaseh Rania sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.