GOMBAK, 16 SEPT: Kerajaan Negeri menjalin kerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi melindungi kanak-kanak daripada menjadi mangsa eksploitasi dengan menjual makanan.
EXCO kebajikan masyarakat berkata JKM akan mengambil tindakan perlindungan di bawah Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntuk remaja di bawah umur 16 tahun tidak dibenarkan bekerja.
“Kebanyakan kes kanak-kanak didapati menjual makanan di restoran dan stesen minyak ini disebabkan masalah sosial dalam keluarga contohnya ibu bapa mereka merupakan penagih dadah.
“Kita akan ajukan kepada JKM untuk tindakan lanjut melalui pasukan perlindungan untuk membantu kanak-kanak dalam keadaan tidak selamat dengan menempatkan mereka di institusi yang telah diwartakan sebagai rumah selamat,” kata Anfaal Saari.
Beliau ditemui pada program sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di sini.
[caption id="attachment_663584" align="alignnone" width="815"]
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari turut serta dalam perarakan ketika program Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia peringkat Parlimen Selayang berdekatan Stadium MPS pada 16 September 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambahnya, negeri turut bekerjasama dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menangani eksploitasi kanak-kanak dalam kalangan warga asing.
“Misalnya ada kanak-kanak dieksploitasi di kawasan tumpuan komersial di Bandar Baru Selayang, mereka ini bukan warga tempatan.
“Jadi, mereka akan dibantu oleh NGO dan UNHCR sebagai perlindungan dengan jalani aktiviti seperti sukarelawan kerana proses mengiktiraf pelarian untuk bekerja bukan mudah ia membabit kedaulatan dan punca kuasa Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.


