BERITA UTAMA

Hari Malaysia: Isi makna merdeka, tanggungjawab rakyat majukan negara

16 Sep 2024, 2:00 AM
Hari Malaysia: Isi makna merdeka, tanggungjawab rakyat majukan negara
Hari Malaysia: Isi makna merdeka, tanggungjawab rakyat majukan negara

Meski Malaysia dibentuk sejak 61 tahun lalu, namun tahun ini sambutannya baru kali ke-15 kerana sebelum 2010 ia tidak pernah disambut.

Suka atau tidak, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perdana menteri Malaysia kini, berperanan dan berjasa besar dalam memastikan sambutan Hari Malaysia dibuat dan cuti umum diberikan kepada seluruh rakyat negara ini.

Ia bermula selepas beliau dibenarkan kembali aktif dalam politik negara pada 2008. Namun, pada peringkat awal, muncul suara-suara yang mempersoalkan pandangan Anwar itu.

Ada ahli akademik yang dipetik meremehkannya sebagai usaha menarik sokongan ahli-ahli politik dari Sabah dan Sarawak.

Ada pemimpin politik menganggapnya tidak perlu kerana kerajaan telah menetapkan sambutan Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos.

Mungkin kerana berlaku anjakan sikap pemimpin dan rakyat di Sabah dan Sarawak, maka ia akhirnya disambut bermula 2010.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa sejak itu persoalan Sabah dan Sarawak semakin mendapat tempat dalam perbicaraan umum.

Dari segi sejarah, idea pembentukan Malaysia dicetuskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra, perdana menteri pertama sejak 27 Mei 1961.

Pada mulanya, idea ini melibatkan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Borneo Utara (yang kemudian dikenali sebagai Sabah) dan Brunei.

Meski umumnya ada persetujuan, malah Perdana Menteri British Harold Macmillan juga memberikan sokongan, idea pembentukan Malaysia ini diterima secara bercampur-campur dalam kalangan rakyat, malah negara-negara lain.

Melalui persetujuan awal tersebut, mesyuarat susulan dibuat oleh Jawatankuasa Rundingan Perpaduan Malaysia di Jesselton (Kota Kinabalu), Kuching, Kuala Lumpur dan Singapura antara Ogos 1961 dan Februari 1962.

[caption id="attachment_663535" align="aligncenter" width="952"] Ribuan pengunjung pelbagai bangsa membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam untuk meraikan Hari Kebangsaan ke-67 peringkat negeri pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Negeri-negeri Melayu – yang bersekutu terdiri daripada Perak, Pahang, Selangor dan Negeri Sembilan serta yang tidak bersekutu terdiri daripada Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor – bersama Negeri-negeri Selat – terdiri daripada Pulau Pinang dan Melaka – telah diberi kemerdekaan pada 1957.

Singapura yang bersama membentuk Malaysia pada 16 September 1963 kemudian berpisah pada 9 Ogos 1965 untuk pemerintahan sendiri sebagai negara yang merdeka.

Ramai yang tidak tahu bahawa Lee Kuan Yew membuat pengumuman kemerdekaan Singapura secara unilateral pada 31 Ogos 1963.

Manakala Sarawak, Borneo Utara dan Brunei yang berada di bawah kuasa Residen British masing-masing mengisytiharkan pemerintahan sendiri pada tarikh-tarikh berbeza antara 1959 dan 1963.

Brunei, yang pada mulanya berminat bersama dalam pembentukan Malaysia, kemudian telah memilih merdeka sepenuhnya secara bersendiri di bawah kuasa monarki mutlak.

British pada mulanya memberikan Borneo Utara pemerintahan sendiri pada 31 Ogos 1963 manakala Sarawak pada 22 Julai 1963.

Oleh kerana ada penentangan daripada Indonesia dan Filipina yang mahu menuntut bahagian wilayah ini, maka satu perjanjian dibuat di Manila yang bersetuju agar pungutan suara dibuat bagi mendapatkan pandangan umum penduduk di Borneo Utara dan Sarawak.

Suruhanjaya yang menjalankan proses pungutan suara ini diketuai oleh Lord Cameron Cobbold, dan kemudian dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.

Kemudian, dapatan ini disahkan pula oleh sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, diketuai oleh Lawrence Michelmore pada 14 September 1963.

Inilah sebabnya kenapa pemasyhuran Malaysia hanya dapat dibuat pada 16 September 1963, dan bukan pada 31 Ogos 1963 mengikut rancangan asal.

Dan melalui proses-proses inilah wujudnya persoalan 20 Perkara dan 18 Perkara Perjanjian Malaysia melibatkan Sabah dan Sarawak.

Ringkasan ini sahaja sudah cukup untuk menunjukkan beberapa kerumitan. Ada lagi perkara lain yang tidak kurang rumitnya termasuk rancangan merdeka lebih awal bersama Indonesia, elemen komunis, pungutan suara di Singapura, pemberontakan di Brunei dan penangkapan beramai-ramai pemimpin pembangkang di bawah Operation Cold Store.

 

Kebersamaan

 

Terlepas apa pun tujuan Anwar membangkitkan persoalan Hari Malaysia pada 2008, ia perlu dihayati melangkaui persoalan politik sempit.

Anwar bukanlah muncul dalam politik bermula pada 2008. Beliau membangkitkan persoalan tersebut pada tahun itu sebagai satu tanda kesedaran baharu dalam politik negara.

Hari Malaysia bukanlah tentang Sabah dan Sarawak sahaja. Hari Malaysia adalah tentang kebersamaan kita semua sebagai sebuah negara.

Hakikat bahawa kita memberi perhatian lebih kepada Sabah dan Sarawak apabila memperkatakan tentang Hari Malaysia sebenarnya adalah satu isyarat bahawa kedua-dua wilayah ini memerlukan lebih perhatian supaya dapat berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dalam mengejar kemajuan.

Bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, masih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan suntikan kesedaran dan kemajuan di utara, timur, tengah dan selatan.

Menjadi sebuah negara merdeka tidaklah mudah. Membentuk sebuah negara baru juga tidak senang. Mengisi makna merdeka dan memajukan negara ini untuk hidup bahagia bersama adalah tanggungjawab kita semua.

Selamat Hari Malaysia!

 

*** Penulis adalah Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia juga bekas ahli parlimen