Oleh Asyraf Bakti
Menutup bahang kesunyian bukan kerja keseorangan. Perlu ada suapan mulut, jiwa menyerah dan sentuhan nyata yang seterang lampu limpah. Itu yang jadikan Jalis memilih untuk pergi ke Ekspo Rumahku yang dia sendiri tahu, cara paling empuk untuk lemaskan sepi. Dia tiba di perkarangan Stadium Bukit Jalil dan lihat belum ramai lagi yang datang. Itu tanda-tanda, banjir kasih sayang, perhatian, dan tentangan mata penuh harapan akan dia peroleh. Dia berjalan sambil berlatih menukar-nukar senyum di muka.
Akhirnya, dia memilih untuk menampal senyuman bak seorang pekerja yang ingin menghantar surat letak jawatan. Dia daftarkan diri secara digital di hadapan pintu masuk. Zaman sekarang, lebih mudah dan percaya isi butiran diri di ekspo sebegini daripada mengisi program subur siram diri. Dia bertukar senyum dengan tukang jaga pintu dan bateri sunyinya kelihatan sudah kurang lima peratus.
Yang anehnya tentang kebisingan yang tidak berpusat di ekspo ini, dia tak dapat mengagak apa yang diluahkan daripada setiap gema yang lahir. Gema bunyi itu ada, tapi tidak dapat dirungkai. Nak tak nak, dia tenang, mengharungi selerak emosi yang ada kali ini. Tidak seperti tahun lepas yang disusun, jika bahagian tidur, tidur sahaja. Jika dapur, sebarisnya dapur. Mungkin jua penganjur tahun ini faham kehendak manusia gelojoh yang singkat fokus, jadinya diletakkan rambang supaya pengunjung tercari-cari dan pusing berkali-kali. Menjadi manusia yang pola makanannya 50 peratus adalah hidangan menu kandungan digital, dia faham benar seni berat algoritma yang ingin disampaikan.
TILAM
Ruangan jualan tilam adalah ruangan yang paling dicari-cari. Banyak benar yang dapat diisi dalam kantung emosi jika jurubual yang akan mendekatinya sebentar lagi adalah seorang perempuan. Doanya makbul kerana yang mendekatinya dengan senyuman komisen, membuka bicara. Dibetulkan getah rambut, ditanya, dan dijemput merasa keenakan bahan yang disumbat di dalam tilam. Katanya kapas yang dipetik dan dikupas lalu diproses dari Taiping, daerah sejuk yang mampu membangkitkan nafsu tidur sehingga lupa untuk berdengkur.
“Jangan ingat dekat sana ada Yong Tau Fu saja tau.” Jurubual rancak goreng.
Dia buka kasut dan cuba melelapkan mata. Si jurubual agaknya agresif mencari komisen, kerana yang dibisikkan di telinga, beli hari ini, percuma lima bantal. Kalaulah si jurubual tahu, yang si Jalis hanya tidur 2 jam sehari, pastinya disuruh beli pil tidur sahaja. Dalam menutup bicara, si jurubual masih tidak berputus asa. Katanya, penghantaran percuma walaupun di rumah flat 18 tingkat yang lifnya selembab keluarnya kereta dari Tol Gombak menjelang raya.
Habis sesi merasa, dia ucapkan terima kasih. Di mata jurubual, terlahir hampa. Tapi dia tidak kejam untuk mengkhianati hasil titik peluh dan titisan air liur, lalu dibelinya juga sehelai sarung bantal sebelum mengucapkan selamat tinggal.
KABINET DAPUR
Ini zon keluarga bahagia, tetapi bujang seperti dirinya pasti dapat juga mengisi tangki rumah emosinya serba sedikit. Dia tahu benar idaman para wanita seluruh Malaysia untuk punya kabinet dapur yang dapat menyimpan segala warna dan keturunan pinggan, mangkuk, sudu, garfu, mahupun bekas biskut.
Seorang lelaki yang nampaknya seperti campuran cindia, dan mulutnya bibir melayu, menghulur katalog yang ada. Lelaki cindia tersebut nampak seperti orang yang jujur kerana tidak mengeluarkan sepatah kata pun semasa menghampiri. Terkadang, jurubual veteran sudah dapat mengagak tujuan pengunjung yang datang sama ada mahu membeli atau sekadar cuci mata. Dia pergi.
SINKI
Jurubual dan kempen jualan di sini ternyata kreatif agresif. Barang fokus yang dipromosikan selain bentuk sinki yang moden kondem-podah-ri adalah kepala paip sinki dengan teknologi tapisan air 18 lapisan tanah, batu dan lain-lain elemen rahsia yang jika sekali keluar di bawah muncung pancuran, akan mengikis secara alami segala minyak, lemak, bau kari serta sambal belacan.
Segala goreng yang keluar daripada mulut jurubual tidak hanya hangit semata-mata. Ia disertakan sekali dengan uji langsung. Setiap pelanggan tidak kira apa jua kepercayaan hidup akan diberikan semangkuk sup tulang mengalir lemak di dalam mangkuk plastik enamel dan jika ada pengunjung yang bertanya tentang sarung tangan plastik, para jurubual akan menggelengkan kepala dan tunjukkan kepada semua, untuk mencuba basuh di sinki demo yang ada. Semuanya mencuba dan terkesima, lalu membuat kesimpulan bahawa bukan sahaja pinggan mangkuk yang melekat minyak dan lemak boleh tertanggal, tetapi silap-silap daki serta baki dosa yang ada pun boleh turut terbang.
Jalis terkedu dan dia tidak menyangka ada satu emosi baru pula yang menjengah, iaitu emosi impulsif. Ini jarang-jarang terjadi dalam dirinya. Belum pernah dia diserang sebegini intim dengan bisikan kepala paip air. Tapi dia tetap tenang dan fokus hanya kepada tugas penuhkan emosi. Bila dia melangkah keluar dari ekspo beserta sinki dan kepala paip (tewas godaan) di tangan, rumah emosinya sudah banjir serta kuota hingarnya sudah penuh dan dia bersedia untuk jadi sunyi kembali. Sebelum dia lupa, dia pasangkan semula bantuan alat pendengaran di telinga kirinya yang dia tanggalkan semasa masuk tadi.