ad
AGENDA

Mais: Rumah amal, sekolah GISBH disiasat, batal pendaftaran jika terbukti salah

14 Sep 2024, 10:37 AM
Mais: Rumah amal, sekolah GISBH disiasat, batal pendaftaran jika terbukti salah

SHAH ALAM, 14 SEPT: Penguat kuasa agama dan nazir sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diarahkan menyiasat rumah amal dan sekolah di bawah Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata langkah itu bagi memastikan tiada ajaran yang bertentangan dengan Islam disebarkan di rumah amal dan sekolah itu termasuk rangkaiannya.

"Pendakwaan di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 perlu dibuat segera jika rumah amal dan sekolah itu terlibat dengan ajaran menyeleweng.

“Sekolah Islam yang terlibat dengan kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran menyeleweng daripada agama Islam juga hendaklah dibatalkan pendaftarannya di bawah Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1988,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak berkuasa agama negeri mengambil perhatian serius berhubung dakwaan penglibatan sekolah Islam di Selangor dalam kesalahan jenayah dan penyebaran ajaran menyeleweng.

“Kenyataan ini merujuk kepada laporan media berkaitan tangkapan dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan kesalahan pengabaian, penganiayaan dan kesalahan seksual terhadap penghuni di 20 buah rumah amal yang dikaitkan dengan GISB,” katanya.

Kenyataan Mais itu juga merujuk penularan beberapa video dimuat naik di media sosial berhubung dakwaan penglibatan GISBH dan beberapa sekolah Islam rangkaiannya dalam penyebaran ajaran menyeleweng daripada agama Islam sebenar.

“Berdasarkan video tular itu, GISBH dikaitkan dengan ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan di Selangor melalui tiga fatwa yang diwartakan pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 2 Disember 2006.

“Pengharaman ajaran dan fahaman Kumpulan Al-Arqam menurut fatwa tersebut juga termasuk mana-mana cabang atau ajaran lain yang mempunyai persamaan dengan ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan itu,” katanya.

Mais turut menasihati umat Islam dalam  Selangor supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran atau fahaman mencurigakan.

GISBH terpalit kontroversi selepas 20 premis membabitkan pusat jagaan dan rumah amal kendaliannya diserbu polis pada 11 September lalu.

Dalam serbuan terbabit, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu yang mengendalikan premis untuk siasatan lanjut.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.