Oleh Yasmin Ramlan
SHAH ALAM, 14 SEPT: Karnival kerjaya sempena Pameran Udara Selangor (SAS) menjadi platform penting buat majikan berhubung dengan pencari kerja yang meneroka peluang dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa.
Bagi majikan, karnival berkenaan membuka peluang untuk mereka mengenal pasti pekerja berkemahiran tinggi sementara bagi pencari kerja, inisiatif ini memberikan mereka akses terus kepada firma berpotensi.
Eksekutif Sumber Manusia Airod Aerospace Technology Sdn Bhd Muhammad Rizman Azhari berkata karnival berkenaan adalah medan terbaik untuk syarikatnya mencari pekerja berkualiti dengan pensijilan yang betul dalam industri penerbangan.
[caption id="attachment_663298" align="aligncenter" width="746"] Eksekutif Sumber Manusia Airod Aerospace Technology Sdn Bhd Muhammad Rizman Azhari. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Salah satu cabaran terbesar kami ialah kami mempunyai banyak pesaing dalam industri ini.
“Jadi, kami mahu mempunyai latar belakang dan jenama yang kukuh untuk syarikat menarik pekerja menyertai kami melalui pameran kerjaya ini,” katanya lapor Selangor Jurnal.
Rizman berkata antara isu utama yang melanda firma tempatan adalah ramai bakal pencari kerja beralih ke negara luar berikutan gaji dan faedah yang lebih menarik.
Pandangan sama turut dikongsi pengarah penyelenggaraan Subang MRO Sdn Bhd yang menurutnya persaingan sengit daripada firma asing khususnya dari Singapura kerana menawarkan gaji lumayan sekali gus menarik bakat tempatan.
[caption id="attachment_663299" align="aligncenter" width="813"] Pengarah Penyelenggaraan MRO Subang, K Parthiban. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
K. Parthiban menambah pandemik Covid-19 juga telah menjejaskan industri penerbangan Malaysia apabila ramai jurutera berpengalaman berhijrah.
“Bagaimanapun, pameran kerjaya di SAS menawarkan peluang unik untuk syarikat kami dan pihak lain untuk berhubung dan merekrut pekerja berkemahiran tinggi, menangani kekurangan tenaga kerja terbaik semasa dalam pasaran pekerjaan,” katanya.
Mencari peluang
Pencari kerja, Nula Adilla Abdul Rashid, 29, berkata walaupun peluang kerjaya dalam industri penerbangan mencabar, dia yakin rezekinya ada di pameran kerjaya ini.
[caption id="attachment_663300" align="aligncenter" width="770"]
Pencari kerja, Nula Adilla Abdul Rashid. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Saya bekerja (pengurusan aset) selama kira-kira enam tahun dan saya akui susah sangat nak cari kerja.
"Tetapi saya yakin jika berusaha keras, bersemangat dengan apa yang kita lakukan, kita pasti dapat," katanya yang ingin menceburi bahagian komersil dan jualan.
Sementara itu, Muhammad Erhan Emir, 22, yang menghadiri temu duga kerja kru kabin berkata persaingan tinggi kerana ramai yang berminat untuk bekerja dalam industri penerbangan.
[caption id="attachment_663301" align="aligncenter" width="766"] Pencari kerja, Muhammad Erhan Emir. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Ini adalah percubaan pertama saya. Di sini, kita boleh menjadi diri kita sendiri dan menggambarkan keyakinan kita, berbeza dengan temu duga secara dalam talian, penemuduga mungkin tidak dapat melihat diri kita yang sebenar,” katanya.
Karnival kerjaya di SAS berlangsung dua hari sejak semalam mulai 10 pagi hingga 6 petang di Concorde Hall, Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark di sini.
Lebih 2,000 peluang pekerjaan dibuka dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa yang ditawarkan syarikat Airbus/Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd, Post Aviation Engineering Services Sdn Bhd, Batik Air dan AirAsia.
Turut mengambil bahagian UMW Aerospace Sdn Bhd, Drone Academy Asia, Skyways Technics Asia Sdn Bhd, Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd dan Airod Aerospace Technology Sdn Bhd.