ad
AGENDA

Isu pertindihan tanah di Selangor selesai guna sistem e-Tanah

13 Sep 2024, 7:51 AM
Isu pertindihan tanah di Selangor selesai guna sistem e-Tanah

KLANG,13 SEPT: Isu pertindihan hak milik tanah keluarga pelakon Ammar Baharin hampir selesai dengan menggunakan sistem pentadbiran tanah secara elektronik (e-Tanah).

Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Dato’ Dr Yusri Zakariah berkata pelaksanaan sistem e-Tanah sejak November tahun lalu memudahkan urusan menyelesaikan isu pertindihan tanah.

“Untuk kes ini kita sudah panggil semua pihak terlibat membabitkan tujuh pemilik tanah dan setakat ini proses milikan tanah hampir selesai iaitu serahan tanah mengikut lokasi ditetapkan.

“Isu pertindihan berlaku kerana berlaku masalah teknikal tetapi telah dibetulkan menggunakan sistem e-Tanah. Dengan adanya sistem ini isu pertindihan dapat diselesaikan dengan sistematik,” katanya ditemui pada sidang media operasi bersepadu khazanah di sini hari ini.

April lalu, Ammar membangkit isu berkenaan di media sosial sebelum keluhannya mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar yang menjelaskan tanah berkenaan telah diratifikasi semula.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan kes sedemikian bukan pertama kali tetapi percaya masalah seumpama itu diatasi melalui penggunaan sistem e-Tanah diperkenal pada 2023.

Menurut PTG Selangor, semua PDT di Selangor kini mengguna pakai sistem pentadbiran tanah secara elektronik itu bagi mengelakkan pertindihan lot sekali gus mengelak isu sama berulang.

PTG negeri juga menasihati pemilik tanah supaya mengemas kini maklumat termasuk pertukaran alamat terkini dan membuat carian persendirian untuk menyemak urusan berkaitan hak milik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.