KLANG, 13 SEPT: Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) merampas sejumlah 480 tan pasir dan tanah dianggarkan bernilai RM1 juta dalam operasi bersepadu khazanah kelmarin.
Pengarahnya Dato’ Dr Yusri Zakariah berkata operasi dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang itu turut menahan lapan pemandu lori berusia 24 hingga 55 tahun.
Yusri memaklumkan, operasi dijalankan meliputi kawasan pesisir pantai Selangor sepanjang 291 kilometer dan di darat membabitkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.
“Hasil operasi telah menahan lapan lori bersama pemandu atas kesalahan membawa bahan batuan tanpa dokumen yang sah dibawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Enakmen Mineral (Selangor) 2000.
[caption id="attachment_663080" align="aligncenter" width="656"]
Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor, Datuk Dr Yusri Zakariah (tengah) melihat 8 buah lori yang ditahan atas kesalahan membawa bahan batuan tanpa dokumen yang sah seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 426 KTN (Akta 828) dan Enakmen Mineral (Selangor) 2000 ketika sidang media Operasi Bersepadu Khazanah (Inter Agensi) di Markas Operasi Pasukan Polis Marin PDRM, Wilayah 1 pada 13 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI[/caption]
“Enam lori ditahan dari Klang dan Kuala Langat selebihnya Nilai, Negeri Sembilan. Kita anggarkan setiap lori membawa 60 tan pasir atau tanah dengan purata harga RM35 setan.
“Dipercayai tanah dan pasir ini dihantar untuk tujuan projek tambakan pesisir pantai bukannya tapak binaan. Siasatan lanjut akan dilakukan kepada semua pemandu lori ditahan dan memanggil pemilik syarikat,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.
Tambahnya, pihaknya akan mempertingkat operasi termasuk melakukan penyamaran bagi mengekang ketirisan hasil bumi Selangor.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan meletakkan unit Polis Marin dalam pentadbiran PTGS bagi memudahkan operasi dan pemantauan di laut.
“Untuk pemantauan di laut memerlukan kelengkapan aset dan jeti untuk labuhkan kapal dirampas sekaligus mudahkan operasi.
“Kita akan tambah baik operasi dengan meletakkan unit polis marin dalan PTGS dan bawa perkara ini ke peringkat Kerajaan Negeri untuk dapatkan peruntukan pada tahun depan,” ujarnya.


