SHAH ALAM, 10 SEPT: Projek turapan mega 2.0 akan dilaksanakan mulai awal Oktober dan dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh dua bulan.
EXCO Infrastruktur berkata kerja menurap diutamakan kepada jalan yang memerlukan penyelenggaraan segera demi memastikan keselamatan pengguna.
“Kita luluskan lebih RM20 juta untuk laksana projek ini. Bila sudah kenal pasti jalan, kita terus turap.
“Jalan ini libatkan laluan kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT), bawah daerah serta Jabatan Kerja Raya,” kata Ir Izham Hashim.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan jentera tampalan jalan berteknologi tinggi, Jetpatcher bersekali Projek Turapan Mega 2024 di Dataran Pahlawan, bangunan pentadbiran negeri (SUK) di sini hari ini.
[caption id="attachment_662670" align="aligncenter" width="1060"]
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim melihat Jetpatcher Infrasel di Dataran Pahlawan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Tahun lalu, Kerajaan Selangor mengeluarkan belanja RM50 juta bagi projek turapan jalan raya berskala besar meliputi penyelenggaraan dan pelebaran jalan untuk meningkatkan kemudahan penduduk dan dijalankan secara menyeluruh.
Meliputi jarak 94.9 kilometer, kerja penyelenggaraan itu melibatkan 66 jalan di Petaling diikuti Klang (39), Gombak (29), Hulu Langat (27), Sepang (19), Sabak Bernam (17), Kuala Langat (16), Kuala Selangor (11) dan Hulu Selangor (lapan).
Bagaimanapun mulai tahun ini, projek mega itu dilaksana secara tahunan dan dilihat lebih berkesan berbanding mengeluarkan kos tinggi untuk kerja selenggara lima tahun sekali.
[caption id="attachment_662672" align="aligncenter" width="1102"]
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim melihat demonstrasi menampal jalan menggunakan Jetpatcher Infrasel di Dataran Pahlawan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]


