SHAH ALAM, 10 SEPT: Kerja pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang, Kuala Langat akan dipercepatkan bagi mengelak berlakunya gangguan bekalan air susulan insiden tebing runtuh di Taman Mas Puchong Sabtu lalu.
EXCO Infrastruktur berkata langkah kontigensi itu perlu memandangkan negeri perlu mempunyai margin simpanan air 350 juta liter sehari (JLH) pada tahun depan memandangkan runtuhan memberi kesan kepada pembinaan LRA Sungai Rasau.
“Kerisauan kita sekarang adalah kelewatan kerja loji. Tahun depan kita perlu ada dalam 350 juta liter sehari tetapi kejadian ini sebabkan LRA Sungai Rasau tertangguh setahun.
“Mungkin kita percepatkan pembinaan unit Labohan Dagang sebab di sana dah sedia kolam, ada air. Ini kita akan pertimbangkan dan Air Selangor juga akan buat cadangan bagaimana nak pastikan ada 350 juta liter sehari menjelang tahun depan,” kata Ir Izham Hashim.
[caption id="attachment_662686" align="aligncenter" width="1145"]
EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim ketika sidang media pelancaran Jetpatcher Infrasel di Dataran Pahlawan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Izham berkata kejadian runtuhan itu tidak menjejaskan perkhidmatan air pengguna setakat ini namun boleh menyebabkan margin simpanan air turun sekali gus berisiko berlaku gangguan bekalan air sekiranya mana-mana LRA mengalami kerosakan.
“Simpanan air kita sekarang pada tahap 10 peratus, kalau 15 peratus kita lebih selesa. Jadi bila berlaku gangguan di mana-mana LRA, margin simpanan ini boleh bantu tetapi kalau tak ada, kita berdepan masalah bekalan air.
“Kita yakin dapat laksanakan. Kita pilih Labohan Dagang sebab ada kemampuan dari segi air. Kalau nak buat baharu kita perlukan kira-kira tiga tahun,” katanya.
Izham menambah kerja pembinaan LRA Sungai Rasau tertangguh kira-kira setahun dan sepanjang tempoh itu pihaknya akan mengenal pasti punca selain melaksanakan kerja pembaikian.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Sabtu lalu, tebing di projek berkenaan runtuh menyebabkan limpahan air tasik memasuki bahagian hadapan tapak pembinaan namun tiada kecederaan dilaporkan.








