Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 10 SEPT: Selangor mencadangkan pelan lebuh raya air bernilai RM5 bilion, yang akan menghubungkan laluan air dari Kuala Lumpur ke Sungai Klang dan mengalir terus ke laut.
EXCO infrastruktur berkata "lebuh raya" serupa dengan saluran air atau terowong itu bertujuan menyalurkan lebihan air ke laut, sekali gus mengatasi masalah banjir di Lembah Klang.
Menurut Ir Izham Hashim, rancangan itu dicadangkan kepada kerajaan persekutuan, tertumpu di kawasan tanah rendah yang sering dilanda banjir di lembah tersebut.
[caption id="attachment_627732" align="alignright" width="453"] EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas meninjau kerja mendalamkan dan pembersihan Sungaki Klang di Zon 6, Alam Impian, Shah Alam pada 8 Februari 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
"Idea ini untuk menyalurkan semua air yang dikumpul di Kuala Lumpur dan membawanya terus ke laut supaya tidak menyebabkan banjir di sepanjang sungai-sungai utama di Lembah Klang.
"Jika terdapat sebarang ketidaknormalan dalam paras air seperti semasa hujan, lebuh raya ini akan membawa air terus ke laut," katanya dalam temu bual bersama Selangor Journal, baru-baru ini.
Beliau menjelaskan lebuh raya tersebut, yang dijangka mempunyai diameter antara 8m hingga 9m, akan membantu menyelesaikan masalah banjir yang berlarutan di Lembah Klang.
"Kita juga boleh menggunakan lebuh raya ini untuk menyimpan lebihan air di takungan berhampiran laut, yang boleh digunakan semasa kecemasan seperti kemarau," katanya.
Menurut Ir Izham, cadangan itu dibentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air.
"Kami sedang mengemukakan cadangan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Projek ini adalah satu lagi perubahan besar, tetapi ia mesti dilaksanakan dengan betul," katanya.