BERITA UTAMA

Liku rancangan besar Tunku bentuk persekutuan Malaysia

10 Sep 2024, 1:00 AM
Liku rancangan besar Tunku bentuk persekutuan Malaysia

Terdapat banyak jalan cerita bagaimana Malaysia mula dibayangkan, kemudian dijadikan kenyataan. Sungguhpun begitu, secara umumnya sejarawan bersetuju bahawa tanggal 27 Mei 1961 merupakan hari yang menggembirakan dalam sejarah Malaysia.

Pada tarikh ini, tanpa diduga, Tunku [Abdul Rahman Putra] menyeru kerjasama politik dan ekonomi yang lebih erat antara negara Persekutuan Tanah Melayu dengan empat lagi wilayah.

Seruan ini menandakan permulaan rasmi dan pernyataan secara terbuka komitmen perdana menteri Tanah Melayu untuk menjadikan pembentukan Malaysia kenyataan sehingga tercapai akhirnya pada tanggal 16 September 1963.

Seruan ini menimbulkan desas-desus media ketika itu kerana Tunku sehingga ke tarikh seruan itu masih menunjukkan sikap tidak suka dengan gagasan Malaysia dan penggabungan dengan Singapura.

Seruan ini menampakkan perubahan pendirian Perdana Menteri. Jadi apakah sebab di sebalik perubahan pendirian ini?

Benih Persekutuan Tanah Melayu telah tersemai sejak sebelum kelahiran Tanah Melayu merdeka. Konsep asalnya boleh dikesan sehingga ke zaman perang, ketika Pejabat Tanah Jajahan "sungguh-sungguh berhasrat" untuk membentuk suatu aturan pentadbiran selepas perang yang bersatu daripada Tanah Melayu jajahan British dan wilayah Borneo-Sarawak, Sabah Borneo Utara dan Brunei.

Menjelang tahun 1950, gagasan yang dikenali sebagai Grand Design [Rancangan Besar] ini menerima sokongan padu daripada Pesuruhjaya Jeneral British di Asia Tenggara, Tuan Malcolm MacDonald yang nampaknya amat mempengaruhi buah fikiran Tunku sendiri berkenaan Rancangan Besar.

Ke arah persekutuan

Namun begitu, hampir sedekad berlalu sebelum gagasan ini dipertimbangkan semula oleh British secara serius. Pada tahun 1960, Pejabat Tanah Jajahan membuat kesimpulan Sarawak dan Borneo Utara kedua-duanya berada dalam keadaan terlalu lemah untuk berkerajaan sendiri sama ada secara bergabung mahupun berasingan.

Satu-satunya pilihan yang tinggal adalah berada "dalam kumpulan yang terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu dan ketiga-tiga Wilayah Borneo, juga bersama Singapura sekiranya mungkin."

Bagi Great Britain, amat mustahak wilayah-wilayah Asia Tenggara yang berada di bawah perlindungannya ini didesak ke arah suatu persekutuan-dan bukan pemecahan-memandangkan hal ini membolehkan British untuk melepaskan tanggungjawab kewangan dan sosiopolitik yang membebankan ini secara terhormat, juga pada masa yang sama, memelihara pertahanan dan kepentingan sosioekonomi serantau mereka.

Wajar dingat juga, pada Januari 1960, Perdana Menteri British Harold MacMillan menyampaikan ucapan bertajuk "Wind of Change." Dalam hal Asia Tenggara, dasar ini bakal berakhir dengan pengunduran askar British dari timur Terusan Suez.

Proses mengurangkan atau menghapuskan jajahan British dan komitmen pertahanan ini yang bermula dengan ucapan "Angin Perubahan’ segera mendapatkan daya penggeraknya.

Gagasan Rancangan Besar juga sesuai dengan kemahuan British untuk “melepaskan" wilayah-wilayahnya di kepulauan Melayu dari sudut penjajahan, ekonomi dan ketenteraan.

Bermula tahun 1960, Pejabat Tanah Jajahan nampaknya cenderung ke arah gagasan gabungan, sekurang-kurangnya antara Persekutuan Tanah Melayu yang telah merdeka dengan Tanah Jajahan Mahkota British di Borneo.

Sebagai catatan, sejak Tunku mula menjawat kerusi Yang Dipertua UMNO, beliau sentiasa mengambil pendirian tidak bersetuju dalam penggabungan dengan Singapura sahaja.

Tunku menjelaskan hal ini pada Januari 1961, bahawa penggabungan Tanah Melayu dengan Singapura pada masa itu ataupun masa depan yang dapat dilihatnya tidak termasuk pun dalam persoalan kerana haluan politik mereka yang berbeza-Tanah Melayu secara politiknya berhaluan kanan manakala Singapura berhaluan kiri.

Namun begitu, pandangan umum yang disebarkan sehingga kini sekadar menyebut Tunku tidak terbuka kepada sebarang bentuk penggabungan dengan Singapura.

Jika diteliti lebih dekat, pendirian Tunku dalam persoalan penggabungan ini tidaklah muktamad seperti yang sering digambarkan.

Pada tahun 1958, sebagai contoh, beliau menyatakan secara jelas kepada Malcolm MacDonald bahawa beliau "sanggup menyetujui" penggabungan dengan Singapura "sekiranya tiga Wilayah Borneo dijadikan Persekutuan yang lebih besar [iaitu Rancangan Besar] pada masa yang sama".

Sekitar waktu itu juga, Tunku mengulangi pendiriannya dalam hal penggabungan dengan Singapura ini di hadapan Pesuruhjaya Tinggi British Sir Geofroy Tory, tetapi beliau tidak digalakkan untuk terus berpegang dengan pandangan ini.

Menurut Sir Geofroy, kenyataan sedemikian akan hanya "menjejaskan perkembangan pembentukan Wilayah Borneo." Respons tidak memberangsangkan daripada pegawai tinggi British itu nampaknya memberi kesan kepada Tunku seperti yang diharapkan oleh mereka apabila beliau tidak lagi meneruskan rancangan penggabungan ini sehinggalah beliau sekali lagi membangkitkan isu ini di hadapan menteri semasa lawatannya ke Pejabat Tanah Jajahan Lord Perth pada Jun 1960.

Usaha rundingan

Jelas persoalan penggabungan tidak pernah benar- benar hilang daripada fikiran perdana menteri ini. Persoalan ini bahkan sungguh penting buat Tunku sehingga beliau memulakan usaha untuk membuka semula rundingan bagi membincangkan ikatan masa depan antara Wilayah Borneo Utara dengan Tanah Melayu.

Dalam rundingan-rundingan beliau dengan Lord Perth pada bulan Jun 1960, Tunku mengulangi kesediaannya untuk mempertimbangkan Rancangan Besar yang merangkumi semua bahagian, dengan Persekutuan Tanah Melayu sebagai pasak utama.

Selepas Tunku dimaklumkan bahawa beliau mungkin telah bertindak sebelum tibanya masa untuk penggabungan, beliau meneruskan cadangannya sendiri untuk Brunei dan Sarawak menyertai Tanah Melayu manakala British boleh terus memegang Borneo Utara untuk keperluan ketenteraannya.

Ternyata pada detik itu, Tunku tidak berniat untuk menyertakan Singapura dalam cadangan persekutuan yang diluaskan itu, khususnya apabila kerajaan Singapura berada di bawah kepimpinan berfahaman sosialis.

Petikan halaman 257–260 daripada buku Tunku: Kelana Penuh Cinta, terjemahan Tunku: An Odyssey of Life Well-Lived and Well Loved, tulisan Kobkua Suwannathat-Pian. Dapatkan di semua platform jualan Buku IBDE, laman sesawang www.bukuibde.com atau toko Rencana di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya. Tambahan perkataan dalam […] untuk keselesaan pembaca.