SEPANG, 9 SEPT: Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) bermatlamat menyediakan landskap kerjasama awam-swasta yang teguh dan mampan untuk memacu kesejahteraan negara.
Dilancarkan Perdana Menteri hari ini, pelan berkenaan dijangka meningkatkan pelaburan swasta kepada RM78 bilion selain menjana sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM82 bilion.
Berucap melancarkan pelan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang projek kerjasama awam-swasta mesti mengambil kira konsep dan prinsip tatakelola yang tegas dan tidak bertolak ansur dengan sebarang karenah birokrasi berlebihan.
[caption id="attachment_662472" align="aligncenter" width="815"]
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, Sepang pada 9 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pastikan sebarang kelulusan tidak berganjak daripada prinsip utama tatakelola dan elak kecurangan yang menjahanamkan sebahagian perubahan negara.
“Dalam apa pun projek kerjasama-awam mesti juga difikirkan soal (kebajikan) ‘keluarga’ yang mampu mendirikan syarikat itu seperti kadar upah, perumahan, pendidikan, kesihatan dan lain-lain mengikut kadar dan keupayaan syarikat.
“Konsep negara Madani dan ekonomi Madani yang cuba diterjemah dalam PIKAS 2030 saya harap dapat dijayakan dengan sebaik mungkin dan dilaksanakan dalam kepesatan dan kelajuan sedaya mungkin,” katanya di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia, Cyberjaya di sini. Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
PIKAS 2030 antara usaha Kerajaan mempercepat pertumbuhan ekonomi negara di samping menguruskan cabaran fiskal.
Merangkumi empat teras dan 17 inisiatif strategik, PIKAS 2030 juga bakal mencipta 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Melaluinya kerajaan antara lain akan mengutamakan pelaksanaan cadangan projek kerjasama awam-swasta secara bidaan bersaing melalui Request for Proposal (RFP) yang akan mempertingkat persaingan, inovasi, kualiti perkhidmatan dan memberi nilai faedah terbaik kepada Kerajaan serta rakyat.
Beberapa model kerjasama awam-swasta baharu seperti Bangun Semula/Jana Semula-Kendali-Pindah dan Bina-Bangun Semula/Jana Semula-Kendali-Pindah akan turut diperkenalkan menerusi PIKAS 2030.
[caption id="attachment_662471" align="aligncenter" width="809"]
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat pameran selepas majlis Peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya, Sepang pada 9 September 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Melalui PIKAS 2030 juga Kerajaan akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek kerjasama-awam swasta berorientasikan user-pays selaras hasrat mengurangkan cabaran fiskal.
Selain itu model monetisasi konsesi seperti pembiayaan secara Amanah Perniagaan dan Amanah Pelaburan Hartanah akan diteroka sebagai alternatif dalam pembiayaan projek.
Kerajaan juga komited untuk memastikan setiap usaha yang diambil melalui PIKAS 2030 akan membawa perubahan sosial dan ekonomi lebih bermakna dan terangkum kepada seluruh rakyat demi membina negara yang progresif.








