BERITA UTAMA

Tuisyen di hujung jari, aplikasi PTRS permudah ulang kaji SPM

9 Sep 2024, 2:00 AM
Tuisyen di hujung jari, aplikasi PTRS permudah ulang kaji SPM
Tuisyen di hujung jari, aplikasi PTRS permudah ulang kaji SPM

Pelajar sekolah, khususnya kalangan keluarga berpendapatan rendah kini boleh belajar di kelas tambahan tanpa yuran menerusi telefon pintar atau tablet masing-masing.

Hanya taip perkataan PTRS pada carian Google Play Store dan App Store, aplikasi pembelajaran percuma dalam talian boleh dimuat turun. Pengguna juga boleh mengakses menu Video Pecutan Akhir, Video Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dan eBookPTRS.

Dikenali e-Program Tuisyen Rakyat Selangor (e-PTRS), ia dilancar pada 13 Ogos oleh Kerajaan Negeri dan menyasarkan 200,000 pelajar mendapat manfaat teknologi baharu itu.

Pengenalan aplikasi pembelajaran berkenaan antara penambahbaikan PTRS yang wujud sejak 2008. Lebih 240,000 pelajar tingkatan empat dan lima menyertai program berkenaan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Tidak sampai sebulan dilancarkan, aplikasi itu mula mendapat perhatian. Seramai 655 pengguna Android dan 287 bagi platform iOS memuat turun e-PTRS, kata Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Kami yakin lebih ramai akan menggunakan aplikasi ini sekali gus mensasarkan 200,000 pelajar akan manfaatkan PTRS sebelum 2026. Ini kerana capaian bahan lebih mudah.

“Malah, kami turut menjangka aplikasi ini dimuat turun oleh pelajar-pelajar dari seluruh negara, bukan sahaja Selangor,” kata Ahmad Azri Zainal Nor pada 3 September.

Program tuisyen percuma itu awalnya dianjur secara fizikal di pusat khidmat masyarakat yang menumpukan keluarga kurang berkemampuan.

Sejak pandemik Covid-19 melanda pada 2020, Kerajaan Selangor melaksanakannya secara dalam talian, dikenali Selangor Tutor.

Kemudian berkembang menjadi portal e-PTRS yang ditambah baik dengan video pembelajaran oleh guru terlatih.

Menyediakan soalan mengikut sukatan mata pelajaran Kementerian Pendidikan, aplikasi yang dibangunkan MBI turut mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor dan guru berpengalaman.

[caption id="attachment_657526" align="alignnone" width="847"] Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 yang telah dilancarkan oleh Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Tingkat keputusan SPM

Kewujudan PTRS menyumbang pencapaian lebih baik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Selangor. Pada 2 Jun, MBI memaklumkan gred purata negeri (GPN) 4.67 berbanding hanya 4.80 pada 2022.

Calon layak menerima sijil SPM turut meningkat kepada 58,082 calon berbanding 56,402 pada 2022.

Peratus lulus bagi empat mata pelajaran PTRS iaitu bahasa Inggeris, sejarah, sains dan matematik menunjukkan peningkatan pada 2023.

Tahun ini, PTRS disertai lebih 230 sekolah dengan peruntukan RM10 juta termasuk kos membiayai makan tengah hari pelajar.

Ia membabitkan kelas tambahan untuk mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah dan matematik tambahan.

Dato’ Menteri Besar berkata sasaran penambahan pelajar menerusi program kali ini antara rancangan intervensi bagi memperkasa sektor pendidikan negeri selain penumpuan bidang kecerdasan buatan (AI).

Kerajaan Negeri turut meneliti keperluan pemberian data internet percuma bagi membantu pelajar mengulang kaji pada bila-bila masa seiring matlamat mendigitalkan proses pembelajaran.

“Aplikasi e-PTRS akan memudahkan mereka belajar. Mereka hanya perlu memuat naik (aplikasi) dan boleh digunakan bila-bila masa. Kita kena lihat juga penggunaan data dan jika ada keperluan, kita akan bantu.

“Ilmu dapat dicapai di mana-mana sahaja tanpa mengira masa sekali. Insya-Allah aplikasi mudah alih ini meningkatkan lagi pencapaian pelajar,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada 13 Ogos.