SHAH ALAM, 8 SEPT: Karnival Kesihatan Rahmah anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga dikunjungi lebih 1,500 orang sejak diadakan awal tahun ini.
Wakil Rakyatnya Danial Al-Rashid Haron berkata berikutan sambutan menggalakkan pihaknya bercadang menganjurkan program itu sebulan sekali sehingga hujung tahun ini bagi memberi kesedaran kesihatan kepada masyarakat.
“Tujuan kita anjur karnival seumpama ini kerana mahu menggalakkan orang ramai terutama penduduk sekitar sini mengambil peluang membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma.
“Alhamdulillah, karnival kini memasuki siri kelima dan setiap lokasi serta pengisian juga berbeza bergantung pada tempat dan pihak swasta atau NGO (badan bukan kerajaan) yang kita bekerjasama,” katanya.
[caption id="attachment_662320" align="aligncenter" width="1006"] Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron beramah mesra dengan orang ramai di Karnival Kesihatan Rahmah DUN Batu Tiga 5.0 di Dewan Kekwa, Seksyen 17, Shah Alam pada 8 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Karnival Kesihatan Rahmah 5.0 DUN Batu Tiga di Dewan Kekwa, Seksyen 17, di sini hari ini.
Mengulas lokasi seterusnya, Danial berkata pihaknya sedang meneliti tempat bersesuaian sama ada sekitar Seksyen 19 dan Seksyen 20 di sini.
Terdahulu, kira-kira 300 individu mengunjungi karnival itu yang bermula dari jam 9.30 pagi hingga 4 petang.
Pelbagai pengisian menarik sepanjang karnival antaranya pemeriksaan kesihatan, mata, pemberian kupon mammogram dan cermin mata percuma bagi 10 individu terawal.
Selain pemeriksaan, turut diadakan kaunter pendaftaran Iltizam Selangor Sihat (ISS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS).
Turut diadakan pertandingan mewarna, kaunter Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta klinik bergerak oleh Persatuan Barah Kebangsaan Malaysia.
[caption id="attachment_662321" align="aligncenter" width="1102"] Orang ramai menjalani pemeriksaan mata di Karnival Kesihatan Rahmah DUN Batu Tiga 5.0 di Dewan Kekwa, Seksyen 17, Shah Alam pada 8 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]