AGENSI

1,063 unit rumah mampu milik di Bandar Elmina, siap 2028

6 Sep 2024, 5:31 AM
1,063 unit rumah mampu milik di Bandar Elmina, siap 2028
1,063 unit rumah mampu milik di Bandar Elmina, siap 2028

SHAH ALAM, 6 SEPT: Selangor membangunkan satu lagi projek Rumah Idaman merangkumi 1,063 unit pangsapuri mampu milik separa berperabot di Bandar Elmina, di sini.

Dijangka siap menjelang 2028, projek Rumah Idaman Amani dilengkapi tiga bilik tidur dengan ruang binaan 1,000 dan 1,120 kaki persegi bermula dari RM250,000 seunit.

Projek dibangunkan Gagasan Nadi Cergas Berhad dengan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) melalui anak syarikatnya PNSB Construction Sdn Bhd bernilai RM286 juta.

Menyempurnakan majlis pecah tanah pagi tadi, Dato’ Menteri Besar berkata projek pangsapuri dua blok setinggi 32 tingkat itu usaha berterusan negeri membantu rakyat memiliki rumah.

[caption id="attachment_661964" align="alignleft" width="462"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada majlis pecah tanah dan pelancaran Rumah Idaman Amani anjuran PNSB di Elmina 4, Bandar Elmina pada 6 September 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menyambut baik kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, PNSB dan Gagasan Nadi dalam menangani isu kemampuan perumahan dengan berkesan.

“Projek ini akan membuka peluang kepada rakyat untuk memiliki rumah mampu milik dalam persekitaran yang berkembang maju dan serba lengkap.

“Kita bukan hanya melancarkan rumah tetapi kita menyediakan satu ekosistem yang kukuh untuk rakyat dengan zon kediaman, perdagangan dan perindustrian yang luas di Bandar Elmina,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PNSB Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Pengerusi Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Berhad Ir Dr Muhamad Fuad Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah PNSB Dato’ Setia Haris Kasim.

Dibangunkan atas tapak seluas 8.9 ekar, Rumah Idaman Amani dilengkapi perabot dan kelengkapan asas seperti televisyen, peti sejuk, kabinet dapur, almari, pemanas air dan pendingin hawa.

Turut disediakan kemudahan kediaman seperti kolam renang, dewan komuniti, gimnasium, trek joging, surau dan sistem keselamatan bagi keselesaan bakal penghuninya.