ad
AGENDA

Kerajaan perkenal formula kadar nafkah anak pasangan bercerai

5 Sep 2024, 1:30 PM
Kerajaan perkenal formula kadar nafkah anak pasangan bercerai

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan sedang membangunkan formula baharu bagi memudahkan mahkamah syariah menentukan pemberian kadar nafkah kepada anak-anak pasangan yang bercerai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata isu pemberian nafkah anak disifatkan amat tenat di negara ini sehingga penubuhan Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Menurut Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, perkhidmatan BSK disediakan secara percuma kepada ibu yang mahu membuat tuntutan nafkah selain membantu mempermudah urusan mahkamah.

“Sebelum penubuhan BSK, memang isu nafkah ini tenat. Pada masa itu, kita ada lebih 12,000 kes perintah nafkah yang dikeluarkan antara 1998 hingga 2008, namun ia tidak dilaksanakan bapa.

“Jadi kita tubuhkan BSK supaya ibu tidak lagi perlu bersusah payah untuk membayar yuran guaman yang agak mahal bagi memperoleh nafkah anak,” katanya.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Perundangan Keluarga Antarabangsa 2024 dengan tema 'Memperkasa Nafkah Anak' di sini, hari ini. Hadir sama EXCO Agama Dr Fahmi Ngah.

Program anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu disertai pakar perundangan dan ahli akademik berkaitan undang-undang keluarga dari dalam dan luar negara.

Mohd Na'im menambah, formula baharu pemberian kadar nafkah berkenaan bakal mengambil kira umur anak, pendapatan bapa dan keperluan semasa kanak-kanak terbabit.

Jelasnya, perkhidmatan BSK yang mula diperkenal pada 2008 di seluruh negara akan terus diperkasa menerusi pelaksanaan tiga unit utama iaitu runding cara, kewangan dan penguatkuasa perintah.

“Sebelum ini tuntutan nafkah mengambil masa yang lama di mahkamah sehingga bertahun-tahun. Tetapi dengan adanya BSK, biasanya akan selesai dalam tempoh enam bulan sahaja,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.