Oleh Danial Dzulkifly
KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Projek berdampak tinggi yang disenaraikan bawah Rancangan Selangor Pertama (RS-1) bertujuan membantu negara mengembalikan status 'Harimau Asia' yang pernah disandang.
EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata pelan itu menumpukan untuk mewujudkan ekosistem yang lebih lengkap bagi industri utama seperti automotif, logistik, semikonduktor, penerbangan dan aeroangkasa.
“Ini semua (rancangan RS-1) adalah industri berdampak tinggi yang memberikan kesan positif kepada ekonomi dan mampu menyediakan gaji tinggi kepada rakyat.
“Projek pembangunan ini satu bentuk khidmat negara kerana kita di landasan betul untuk menyumbang lebih kepada ekonomi negara, seterusnya membantu Malaysia mencapai status Harimau Asia,” katanya.
[caption id="attachment_654236" align="aligncenter" width="730"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pameran sempena Perasmian Kajian Penggal Rancangan Selangor Pertama (KSP RS-1) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]
Beliau berkata demikian mewakili Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam sesi Bicara Bersama Menteri Besar: Kajian Separuh Penggal RS-1 di Hotel DoubleTree by Hilton, di sini hari ini.
Malaysia pernah dianggap sebagai ‘Harimau Asia’, istilah yang digunakan untuk menggambarkan ekonomi yang berkembang pesat di Asia, pada akhir 1980-an dan awal 1990-an.
Bagaimanapun, statusnya merosot pada akhir 1990-an disebabkan krisis kewangan Asia 1997.
Dalam pada itu, Sze Han berkata Selangor bertekad menyediakan lebih banyak pekerjaan berdampak tinggi dalam industri kompleks bagi menangani inflasi, berbanding bergantung kepada subsidi.
"Kita boleh membantu rakyat meningkatkan taraf sosioekonomi dengan menyediakan pekerjaan bergaji tinggi, selain membantu golongan memerlukan dengan subsidi bersasar. Ini lebih berkesan," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap sesi libat urus yang disertai pelabur berpotensi dan penganalisis kewangan petang tadi memberikan banyak pandangan terhadap keseluruhan pelan ekonomi negeri.
Turut hadir pada sesi dialog berkenaan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed.