SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri tidak menaikkan cukai taksiran hampir 40 tahun meskipun Akta Kerajaan Tempatan membenarkan kadar disemak setiap lima tahun.
EXCO Kerajaan Tempatan berkata peningkatan kos pengurusan memerlukan penilaian kadar baharu demi memastikan keberkesanan perancangan bandar sekali gus memberi keselesaan kepada penduduk.
"Proses penilaian cukai taksiran sedang dilaksana semua PBT. Di Selangor, ada pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah naikkan cukai sejak 39 tahun lalu seperti Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan diikuti Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) sejak 37 tahun lalu.
[caption id="attachment_661737" align="alignleft" width="441"] EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim ketika temu bual Bersama Media Selangor di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 4 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Ramai yang tidak tahu bahawa akta kerajaan tempatan membenarkan cukai taksiran disemak setiap lima tahun, tetapi PBT tidak buat. Ini perkembangan yang tidak sihat,” katanya kepada Selangorkini.
Suee Lim berkata penyelarasan cukai taksiran dijangka dilaksanakan tahun depan selepas semua proses penilaian selesai menerusi kaedah yang tidak membebankan rakyat.
“Memang ada yang cakap jangan susahkan rakyat tetapi dalam masa yang sama kita juga tidak boleh jadi populis. Kita kena imbangi dengan perkembangan semasa. Saya yakin rakyat akan faham kerana kenaikan ini demi perkhidmatan yang lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, Selangor bercadang mencontohi Johor yang melaksanakan kenaikan cukai taksiran secara automatik setiap lima tahun mengikut kadar kemampuan rakyat.
Pada 30 Mei, Dato’ Menteri Besar menjelaskan proses penilaian baharu yang dijalankan PBT penting demi memastikan keberkesanan perancangan bandar bandar selain merangka strategi masa depan.
Menegaskan rumah kos rendah tidak dikenakan cukai meski menerima notis itu, Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan ia bertujuan mengetahui nilai dan kualiti perbandaran sesebuah kawasan.