SHAH ALAM, 4 SEPT: Lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dibantu untuk terlibat dalam perniagaan eksport bagi memperkukuh jaringan dan meningkatkan daya saing di peringkat global.
EXCO Keusahawanan Najwan Halimi berkata usaha menerusi penganjuran Hari Eksport Selangor membuka jalan kepada 230 usahawan daripada 147 syarikat untuk meneroka peluang bagi meluaskan pasaran.
"Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, usahawan perlu lebih proaktif dan berinovasi. Program ini memberi sokongan dan panduan untuk berjaya dalam pasaran luar negara," katanya hari ini.
Berlangsung sehingga esok, edisi kedua dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Dalam program tersebut, Najwan turut menyampaikan pengiktirafan kepada beberapa usahawan yang pernah memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.
Selain itu, katanya, sembilan usahawan bawah program pembangunan Unit Perancang Ekonomi Negeri akan dibawa ke Nanning, China pertengahan bulan ini bagi membuka reruai dalam ekspo perdagangan.
Sementara itu, Matrade dalam kenyataan berkata Hari Eksport Selangor akan meningkatkan jumlah perdagangan negeri tersebut dan menambah penglibatan syarikat dalam perniagaan eksport.
Ahli Lembaga Pengarah Kanannya Datuk Hazimah Zainuddin berkata unjuran itu berdasarkan nilai dagangan sebanyak RM491.86 bilion daripada jumlah keseluruhan RM1.652 trilion tahun lalu.


