Oleh FARIDZWAN ABDUL GHAFAR
Penguasaan Portugis di Melaka selama 130 tahun sebenarnya hanya meliputi Bukit Melaka dan kawasan pekan seberang Sungai Melaka iaitu Upeh dan Hilir – tiga kawasan luasnya 45 hektar sahaja.
Demikian tegas pensyarah undang-undang maritim Dr Hazmi Rusli yang menolak tanggapan umum kononnya Melaka ditakluk angkatan Portugis dalam serangan pada Ogos 1511.
Sebaliknya, bahagian lain negeri berkenaan kekal di bawah kedaulatan Kesultanan Melaka, kemudian diwarisi Kesultanan Johor-Riau.
Empayar Kesultanan Melaka meliputi seluruh Tanah Melayu sehingga Pattani, pantai timur Sumatera, Singapura dan Kepulauan Riau-Lingga.
Pensyarah Universiti Islam Sains Malaysia (USIM) itu menegaskan pasca-1511, Kesultanan Melaka disusuli Kesultanan Johor-Riau beberapa kali menyerang Portugis, menyebabkan kuasa barat itu gagal mengembangkan pengaruhnya.
Langkah itu termasuk mengepung kota A’ Famosa, menyekat pelabuhan Melaka, melanun kapal dagang bersekutu dengan Portugis dan serangan hendap Portugis.
Strategi itu berjaya kerana Portugis terpaksa bertahan dan berlindung di balik tembok kota A’ Famosa.
Keadaan Portugis amat berbeza berbanding dengan pendudukan kuasa itu ke atas Brazil (1500-1815), Mozambique di selatan Afrika (1505-1975) dan Timor, kini dikenali Timor Leste antara 1702 hingga 1975.
Di wilayah-wilayah tersebut, Portugis menguasai kawasan yang luas, menjarah sumber alamnya dan menjalankan dasar kristianisasi terhadap kaum pribumi.
“Pendudukan Portugis rasminya Bukit Melaka sahaja iaitu kota A’ Famosa... Ayer Keroh pun tak sampai. Pekan… pasar bawah pengaruh Portugis.
“Sultan Melaka hilang tapak pentadbiran, pelabuhan dan pekan di seberang sungai saja,” katanya ketika ditemui pada 19 Julai sempena sambutan Bulan Kebangsaan.
Kehilangan kawasan berkenaan menyebabkan kerajaan Melayu itu hilang punca pendapatan terbesar sejak berdekad lamanya, hasil cukai pelabuhan dan perdagangan.
Bagaimanapun, Kesultanan Melaka masih berpengaruh antara 1511 hingga 1528 apabila negeri naungan dan wilayah taklukan membayar ufti dan cukai semasa Sultan Melaka Sultan Mahmud Syah memerintah dari Bintan di kepulauan Riau dan Kampar, Sumatera.
Meski Portugis ada menyerang Kesultanan Melaka, namun ia bermatlamat melemahkan asakan angkatan kerajaan Melayu itu terhadap Portugis.
“Portugis serang Bintan pada 1526 tetapi mereka tidak mendudukinya. Mereka serang, lepas itu patah balik berkubu di kota A’ Famosa.
“Begitu juga serangan-serangan selepas itu terhadap Johor- Riau. Serang, patah balik…serang, patah balik (ke kota A’Famosa). Portugis takut dengan angkatan Melayu kita,” kata Dr Hazmi.
Apabila Sultan Mahmud Syah mangkat, Kesultanan Melaka dibahagi antara puteranya iaitu Raja Muzaffar yang beraja di Perak dan Raja Ali yang bertakhta di Johor-Riau pada 1528.
Kesultanan Johor-Riau muncul sebagai kerajaan Melayu paling berpengaruh dan mewarisi wilayah terbesar daripada Kesultanan Melaka.
“Portugis di Melaka gagal sebab serangan bertali-arus kesultanan Johor-Riau. Dibantu pula angkatan Perak dan Pahang. Ini menyukarkan Portugis.
“Tambah lagi waktu itu muncul pula Aceh sebagai kuasa serantau yang baharu. Mereka ada sistem ketenteraan yang lebih kompleks. Aceh selalu serang Portugis di Melaka,” katanya.
Perang Tiga Segi
Abad ke-16 menyaksikan tercetusnya Perang Tiga Segi di Selat Melaka membabitkan Johor-Riau, Aceh dan Portugis. Pertembungan geopolitik itu meranapkan impian Portugis untuk menguasai laluan perdagangan Selat Melaka.
Pada Jun 1551, Johor-Riau bergabung dengan Perak, Pahang dan Jawa menyerang Portugis. Ia disusuli ekspedisi serangan pada 1564 dan 1608, namun tidak berjaya mengambil Melaka.
Pada masa sama, Johor-Riau membentuk pertahanan ampuh dan mampu menangkis serangan Portugis pada 1535, 1536 dan 1587.
Kesultanan Johor-Riau kerap memindahkan pusat pemerintahannya sebagai strategi menghadapi ancaman Portugis dan Aceh.
Mengulas kekalahan angkatan Melaka pada 1511 dan 1526 dan kemudian angkatan Johor-Riau dalam beberapa pertempuran dengan Portugis, Dr Hazmi berpendapat kerajaan Melayu pada waktu tidak mempunyai sistem ketenteraan khusus.
Meski dilengkapi senjata api seperti meriam, lela, istinggar dan terakul, mereka masih mengamalkan sistem kerah yang bergantung kepada rakyat tempatan sebagai askar selain tentera upahan.
Sistem itu memberi hak kepada pembesar tempatan mengarahkan rakyat terdiri petani, pesawah, nelayan dan ada kala pedagang sendiri untuk mengangkat senjata melawan Portugis.
“Kerajaan Melayu masa itu tiada unit askar yang betul-betul terlatih. Keadaan itu (berterusan) sampailah abad ke-19 di bawah pemerintahan Sultan Abu Bakar Johor.
“Baginda raja Melayu pertama asaskan angkatan Melayu yang benar-benar terlatih iaitu Askar Timbalan Setia yang kita kenal hari ini,” katanya.
Dr Hazmi berkata kajiannya mendapati antara abad ke-16 hingga abad ke-19, hanya empat kerajaan di Asia Tenggara yang mempunyai unit askar terlatih iaitu Kesultanan Aceh, Kesultanan Demak di Jawa, Burma dan Siam.
Katanya, ia menjadi sebahagian punca kerajaan Melayu waktu itu gagal menghalau Portugis dari Bukit Melaka, lantaran kuasa kolonial itu ada askar terlatih meski beberapa ratus orang sahaja.
Mengikut rekod rasmi Portugis sepanjang 130 tahun di Bukit Melaka, bilangan orang Portugis yang tinggal di kota A’ Famosa hanya sekitar 200 hingga 300 orang.
Kedatangan Belanda ke Asia Tenggara mengubah geopolitik serantau. Johor-Riau pantas menghidu peluang menyingkirkan Portugis dan menangkis ancaman Aceh dengan menjalin hubungan diplomatik dengan Belanda pada 1602.
Mengikut ahli akademik, Dr Mardiana Nordin dalam artikel Pengukuhan Kuasa Melayu: Perkembangan Politik Dan Pentadbiran Kesultanan Johor Sehingga Abad Ke-18 yang terbit pada Ogos 2021, Belanda menawarkan bantuan terhadap Johor-Riau menentang Portugis dan Aceh.
Selepas 1629, Belanda memperakui kedaulatan Johor-Riau apabila akur ketika diminta berkecuali dalam sengketa Johor dengan Aceh dan sebarang hal ehwal politik dengan Pahang.
Pada 1637, Sultan Johor-Riau Sultan Abdul Jalil III berjanji membantu Belanda mengusir Portugis dari Melaka. Belanda juga melaporkan dalam tahun sama, angkatan Johor-Riau merampas kapal-kapal Portugis di kepulauan Karimun dan menumpaskan kapal perang Aceh dalam pelayaran ke Pahang.
Pada 1639, Laksamana Johor-Riau Tun Abdul Jamil menandatangani perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) di Patani yang diwakili oleh Philip Lucazs.
Tun Abdul Jamil mewakili Sultan Johor menyatakan kesediaan Johor-Riau bersama Belanda mengepung Portugis di Melaka, manakala Belanda membantu Johor membina mana-mana kota di Johor-Riau yang musnah ekoran Perang Tiga Segi.
Belanda juga menjanjikan kelengkapan perang seperti meriam dan senjata api kepada Johor-Riau sebagai balasan pakatan mereka itu di samping melindunginya daripada Portugis dan Aceh.
Usir Portugis
Menurut Dr Hazmi, serangan mengusir Portugis dimulakan pada Jun 1640 menerusi kepungan darat oleh angkatan Johor-Riau, manakala pasukan Tun Abdul Jamil bekerjasama dengan angkatan Belanda menyerang dari laut pada 2 Ogos tahun itu.
“Kajian awal saya dapati ada rekod Melayu lama sebut yang serangan darat pada 1640 dipimpin Bendahara Johor-Riau berpusat di Sungei Ujong menyusur Sungai Linggi ke Melaka buat kepungan,” katanya.
Ujarnya, pengepungan kota A’ Famosa selama enam bulan menyebabkan tentera Portugis keputusan bekalan makanan dan kebuluran. Johor-Riau mengusir Portugis dari Melaka pada 14 Januari 1641.
Menjelaskan keengganan Kesultanan Johor-Riau mengambil semula Bukit Melaka, Upeh dan Hilir usai penyingkiran Portugis, Dr Hazmi berkata kerajaan Melayu itu tidak berminat kerana pelabuhannya hilang daya tarikan perdagangan akibat perang.
Malah, terlalu banyak kerosakan berlaku pada kota A’ Famosa selain kos pembaikan tinggi menyebabkan sultan dan pembesar Johor-Riau menyerahkan Bukit Melaka dan kawasan sekitar kepada Belanda.
“Sebab lain ialah ganjaran kejayaan kerjasama antara Johor-Riau dan Belanda. Belanda jadikan pelabuhan Melaka pusat pengumpulan barang sebab lebih tumpukan pelabuhan Batavia di Jawa.
“Waktu itu pelabuhan Riau maju dan ulang balik kegemilangan pelabuhan Melaka lebih 100 tahun sebelum itu. Riau juga menjadi pusat kekayaan dan kegemilangan Empayar Kesultanan Johor-Riau,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Hazmi berkata Portugis boleh diusir lebih awal dari Selat Melaka sekiranya kerajaan-kerajaan rumpun Melayu tidak berperang sesama sendiri seperti Aceh menentang Johor-Riau.
“Pengajaran perlu diambil daripada sejarah bahawa hanya kita yang mampu pertahankan bangsa. Sejarah mungkin berbeza kalau kerajaan-kerajaan rumpun Melayu ini bersatu menentang penjajahan asing rantau ini,” katanya.