SHAH ALAM, 30 OGOS: Seramai 200,000 pelajar bakal menerima pembelajaran kelas tambahan percuma menerusi Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) menjelang 2026, berbanding 130,000 yang menyertainya ketika ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penambahan pelajar itu merupakan antara rancangan intervensi bagi memperkasa sektor pendidikan di negeri ini selain penumpuan kepada bidang kecerdasan buatan (AI).
“Insya-Allah kita ada merangka beberapa rancangan intervensi. Sebelum ini PTRS libatkan 6,000 pelajar, meningkat kepada 20,000 dan kini lebih 100,000 peserta terlibat.
“Menjelang 2026 kita jangkakan 200,000 pelajar terlibat PTRS. Kita tumpukan juga pelajar sekolah rendah untuk bantu generasi yang tertinggal ketika Covid-19 kuasai asas pembelajaran membaca, mengira,” katanya.
Beliau berucap demikian ketika menghadiri majlis apresiasi dan program ramah mesra bersama persatuan guru besar Malaysia cawangan Selangor di Dewan Jubli Perak, bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Pada 13 Ogos, Amirudin berkata PTRS ditambah baik dengan pembangunan aplikasi dalam talian bagi memudahkan 130,000 pelajar mengakses bahan pembelajaran.
Beliau menjelaskan, portal ePTRS itu yang memuatkan kedah menjawab soalan dan menyediakan modul ulang kaji boleh diakses semua pelajar termasuk luar negeri ini.
Sebelum itu ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memaklumkan PTRS disertai lebih 230 sekolah dengan peruntukan RM10 juta termasuk kos membiayai makan tengah hari pelajar.
Ahmad Azri Zainal Nor berkata program berkenaan melibatkan kelas tambahan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.


