AGENSI

PKPS-Segi Fresh buka pasar raya pertama di Bagan Nakhoda Omar

28 Ogos 2024, 6:00 AM
PKPS-Segi Fresh buka pasar raya pertama di Bagan Nakhoda Omar

SHAH ALAM, 28 OGOS: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bekerjasama dengan Segi Fresh membuka pasar raya pertama di Bagan Nakhoda Omar, Bernam Jaya.

Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing berkata pasaraya Ehsan Segi Fresh itu dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 24 Ogos lalu dengan pelbagai promosi menarik ditawarkan.

"Ini merupakan pasar raya pertama di Selangor kerjasama antara PKPS dan Segi Fresh dengan diberi nama Ehsan Segi Fresh. Pembukaan ini juga bertujuan meluaskan capaian Jualan Ehsan Rahmah (JER).

"Pasar raya ini menggabungkan kepakaran PKPS dalam memperkasa sektor pertanian Selangor dengan pengalaman pihak Segi Fresh dalam rantaian bekalan dan peruncitan," kata Rosnani Abdul Malek kepada Selangorkini.

Bermatlamat membantu rakyat, Rosnani berkata Ehsan Segi Fresh menawarkan produk segar berkualiti dan barangan keperluan asas pada harga berpatutan demi merealisasikan visi kedua-dua pihak.

"Kita mengalu-alukan penduduk berhampiran untuk berkunjung ke pasaraya Ehsan Segi Fresh yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 8.30 malam setiap hari.

"Selain JER, orang ramai juga boleh menikmati pengalaman membeli-belah yang segar, berbaloi, dan mesra rakyat di pasaraya Ehsan Segi Fresh," katanya.

Pada Julai tahun lalu, PKPS menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Segi Fresh bertujuan memperluas capaian jualan murah anjuran Kerajaan Negeri mulai 1 Ogos.