SABAK BERNAM, 27 OGOS: Kira-kira 3,800 belia menerima manfaat daripada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) bagi mengembangkan bakat kemahiran dalam Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YRMS, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata yayasan yang dilancar pada 2003 bertujuan mencungkil bakat belia dari seluruh negara dalam bidang kemahiran.
“YRMS ditubuhkan untuk memberi peluang kepada belia terpinggir dan kurang kecenderungan akademik tetapi mempunyai bakat dan kemahiran yang terpendam.
“YRMS menyokong anak muda berusia antara 16 hingga 30 tahun dengan membantu mereka membina keyakinan diri serta memperkembang bakat bagi membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan," katanya ketika berucap.
[caption id="attachment_660248" align="aligncenter" width="678"] Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda bersama pelajar yang menerima bantuan sempena majlis perasmian Hari Terbuka Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) 2024 di Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam pada 27 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beliau berkata demikian di hadapan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Hari Terbuka TVET YRMS di Politeknik Sultan Idris Shah di sini, hari ini.
Raja Arshad menambah, YRMS membantu belia menerusi tiga program yang disediakan iaitu bengkel eksplorasi diri, latihan berasaskan kemahiran dan bakat untuk dunia.
Menurutnya, Hari Terbuka TVET merupakan platform bagi semua pihak mengenali lebih dekat dunia TVET selain meningkatkan minat pelajar terhadap bidang terbabit.
“Sejak 2022, program ini dilaksana dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dengan penganjuran pertama di Kolej Komuniti Selayang manakala Kolej Komuniti Kuala Langat pada tahun lalu," katanya.