KONTINJEN Selangor mempamer aksi cemerlang bersaing dengan negeri lain dalam pelbagai acara yang dipertanding pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Kuching, Sarawak.
Setakat jam 12 tengah malam 23 Ogos, pasukan negeri pada kedudukan ketiga dengan 51 pingat emas, 61 perak dan 50 gangsa di belakang tuan rumah Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Atlet yang menyumbang emas antaranya Mandy Cebelle Chen (wushu), G Srikah (karate), Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dan Esther Joy Hong Li Chen (olahraga), Andrew Goh dan
Khew Zi Xia (renang).
Andrew dan Nur Afrina Batrisya juga memecah rekod kebangsaan pada temasya itu. Kontinjen negeri membariskan 1,182 peserta dalam temasya dwitahunan antara 17 hingga 24 Ogos.
Sebanyak 61 pingat emas dan kedudukan tiga teratas menjadi sasaran pada kali ini. Selangor pernah menjuarai temasya sukan berkenaan di Sarawak pada 2016.
Koleksi foto Majlis Sukan Negeri Selangor dan lensa HAFIZ OTHMAN merakam detik gemilang atlet negeri dalam SUKMA 2024 setakat 21 Ogos. Keterangan oleh HAFIZAN TAIB
EXCO Sukan Najwan Halimi mengalungkan pingat emas kepada pasukan golf lelaki diwakili (dari kiri) Poon Jia Hao, Ezekiel Riz Hafi, Austin Gan dan Mohamad Ajmal Amin Fajri di Kuching pada 18 Ogos
Nur Afrina Batrisyia mencipta kejutan apabila menang olahraga 100 meter (m) wanita di Petra Jaya pada 19 Ogos. Beliau juga mencatat rekod baharu 11.64 saat (s)
Esther menaiki podium memperagakan emas dimenangi menerusi acara olahraga 5,000m wanita di Stadium Sarawak, Petra Jaya pada 19 Ogos
Andrew (lorong tengah) mendahului lawan dalam acara 100m kuak dada sebelum memenangi emas di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Kuching pada 19 Ogos
Mandy menceriakan kem Selangor apabila menggondol dua emas melalui acara wushu taijijian serta tajiquan pada 14 dan 15 Ogos di Dewan Wushu, Petra Jaya
Mudah menundukkan peserta Sabah Adela Fay Robert, atlet karate Srikah (kanan) menang emas acara kumite individu wanita 55 kilogram (kg) di Institut Kemahiran Belia Negara, Miri pada 17 Ogos
Khar Chuan Teoh (kanan, belakang), Andrew (kiri, belakang), Shun Qi Lim (dua, kanan, hadapan), Khew Zi Xian (kiri, hadapan) meraih emas renang 4x100m rampaian di Petra Jaya pada 20 Ogos
Penyokong memenuhi ruang Stadium Hoki Petra Jaya, Kuching pada 18 Ogos untuk menaikkan semangat pemain hoki Selangor ketika menentang Johor. Selangor menang 4-1
Sekumpulan penyokong di Dewan Wushu, Petra Jaya pada 15 Ogos mengibarkan bendera negeri dan bersorak memberi kata semangat kepada atlet wushu Selangor
Aksi atlet pecut Lie Yee Teng (kiri) dalam acara 100m berpagar wanita di Stadium Sarawak, Kuching pada 20 Ogos. Yee Teng memenangi emas dengan cacatan masa 14.28s
Maskot rasmi Selangor, Helang Putih bersama kontinjen negeri ketika perbarisan acara pembukaan SUKMA ke-19 di Kuching pada 17 Ogos. Haiwan itu melambangkan kegagahan dan keberanian
Atlet renang Zi Xian cemerlang mengatasi cabaran tujuh lagi peserta bagi memastikan kejuaraan acara 100m gaya bebas wanita di Kuching pada 20 Ogos
Kegembiraan pemain Selangor meraih emas selepas menewaskan Wilayah Persekutuan 3-1 dalam akhir berpasukan campuran badminton di Dewan Tertutup, Sibu pada 20 Ogos
Keceriaan ahli pasukan boling padang wanita Selangor selepas mengalahkan Pahang 15-13 dalam perlawanan akhir di Kuching pada 16 Ogos








