KUCHING, 17 OGOS: Pasukan kriket lelaki Selangor dan Sarawak mara ke peringkat separuh akhir saingan T20 Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas masing-masing menutup aksi liga sepusingan dengan kemenangan hari ini.
Pada aksi di Padang Kriket & Ragbi Petra Jaya di sini, Selangor tidak berdepan masalah menundukkan Sabah dengan kelebihan lapan wiket sementara Sarawak cemerlang mengatasi naib juara edisi lepas Wilayah Persekutuan dengan kelebihan 77 larian.
Menanti Selangor di pentas separuh akhir yang berlangsung esok ialah Kelantan manakala Sarawak akan membuat perhitungan dengan Terengganu.
Dalam pada itu, satu lagi perlawanan hari ini menyaksikan Kedah kempunan untuk ke separuh akhir walaupun melakar kemenangan dengan kelebihan tujuh wiket ke atas Johor.
Perlawanan final acara T20 lelaki dijadualkan berlangsung Isnin ini.
Kriket yang membuka tirai saingan Selasa lalu, menawarkan dua pingat emas masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita.
- BERNAMA


