ad
AGENDA

SUKMA 2024: Selangor temu Pulau Pinang di akhir sepak takraw berpasukan lelaki

17 Ogos 2024, 1:20 AM
SUKMA 2024: Selangor temu Pulau Pinang di akhir sepak takraw berpasukan lelaki

BINTULU, 17 OGOS: Pemenang pingat gangsa edisi lepas, Pulau Pinang menepati ramalan melangkah ke pentas akhir sepak takraw berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menewaskan Melaka di Stadium Muhibbah di sini, semalam.

Dalam aksi separuh akhir, Regu A Pulau Mutiara diketuai Danial Iman Hasbullah yang bertindak sebagai pengumpan tenang mengawal gelanggang untuk memenangi perlawanan dengan 15-8, 15-13.

Pada perlawanan kedua, Regu B Melaka memberikan tentangan hebat namun ketangkasan pemain Pulau Pinang berjaya mengekang segala asakan dan memenangi perlawanan 15-12, 15-13 untuk mengesahkan tiket ke final esok.

Sementara itu, Selangor mencipta kejutan menumpaskan juara bertahan Terengganu 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, Regu A Selangor terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya menundukkan regu Terengganu 15-11, 12-15, 15-9.

Pada perlawanan kedua, Regu B Terengganu menghidupkan peluang apabila mengikat kedudukan 1-1 selepas mencatat kemenangan dramatik 17-15, 15-17, 15-12.

Regu C Selangor menjadi wira pasukan apabila menamatkan sisa perjuangan pasukan Terengganu selepas melakar kemenangan 15-13, 15-11 untuk melangkah bergaya ke peringkat akhir.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.