ad
BERITA UTAMA

EXCO: Syarikat bumiputera diseru mohon sijil halal, perkukuh imej produk

23 Jul 2024, 1:00 AM
EXCO: Syarikat bumiputera diseru mohon sijil halal, perkukuh imej produk

SABAK BERNAM, 23 JULAI: Syarikat bumiputera diseru memohon sijil halal bagi mengukuhkan imej produk sekali gus bersaing serta meneroka pasaran luar negara.

EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata data menunjukkan hanya 30 peratus daripada jumlah keseluruhan pemohon sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah pengusaha bumiputera.

"Berdasarkan data, bukan bumiputera lebih berminat kerana mereka faham kalau hendak masuk pasaran mesti ada sijil halal kerana pengguna ramai Islam.

"Namun, kita galakkan bumiputera juga memohonnya. Memang memohon sijil halal ada kos tetapi ia tidak menekan. Pengusaha Bumiputera perlu merebut peluang kerana sijil halal Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan kursus pemprosesan daging di Kolej Komuniti Sabak Bernam di sini, semalam.

Fahmi berkata Selangor mula melaksanakan proses permohonan dan pembaharuan sijil halal dalam tempoh 23 hari bekerja.

"Kerajaan Persekutuan memutuskan permohonan sijil halal kepada 23 hari dilaksanakan bermula tahun depan tetapi di Selangor telah mula laksana sejak November tahun lalu.

"Penggunaan sistem digital mempercepatkan proses kelulusan berbanding pengisian menggunakan kertas," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.