SHAH ALAM, 15 JULAI: Tahap kecekapan digital dalam kalangan guru di seluruh negara terus meningkat seiring hasrat kerajaan mengintegrasi teknologi digital dalam ekosistem pendidikan.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata saringan tahap kecekapan digital terhadap 360,365 guru mencatatkan sebanyak 74.73 peratus daripadanya berada pada tahap pertengahan setakat 30 Jun lalu.
“Jumlah guru memiliki kompetensi pada tahap asas pula adalah 23.53 peratus atau 84,818 orang manakala 1.73 peratus atau 6,246 lagi berada di tahap lanjutan.
“Usaha membangunkan kompetensi guru dipertingkatkan dengan mengupayakan pendidik dan pemimpin pendidikan untuk mengintegrasikan teknologi digital dalam ekosistem pendidikan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim yang ingin tahu persediaan kerajaan mengatasi masalah kompetensi digital dalam kalangan guru.
Katanya Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) turut melaksanakan latihan kecekapan digital bagi memastikan guru kompeten dan dapat mengadaptasi teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Ia menjurus kepada domain kompetensi pembelajaran digital yang digariskan 'The European Framework for the Digital Competence of Educators'.
"Semua domain tersebut telah dijelmakan dalam bentuk kurikulum program pendidikan di IPGM dan KPM memberi komitmen untuk merealisasikan teras seperti dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Digital.
“Pada masa sama satu pasukan petugas khas ditubuhkan khusus bagi membangunkan pendidikan digital dan mencapai hasrat dalam dasar berkenaan," katanya.
Mengulas lanjut katanya sebanyak 68,056 unit komputer riba diedarkan kepada 3,455 sekolah di seluruh negara, membabitkan kos bernilai RM424.9 juta, tahun lalu.
"Untuk tahun ini, sebanyak 69,604 unit komputer riba pula sudah diagihkan kepada 3,885 sekolah di seluruh negara, membabitkan kos bernilai RM451.4 juta," katanya.


