ad
BERITA UTAMA

Taman Rekreasi Kucing Catopia tarikan baharu di Shah Alam

8 Jul 2024, 2:00 AM
Taman Rekreasi Kucing Catopia tarikan baharu di Shah Alam
Taman Rekreasi Kucing Catopia tarikan baharu di Shah Alam
Taman Rekreasi Kucing Catopia tarikan baharu di Shah Alam
Taman Rekreasi Kucing Catopia tarikan baharu di Shah Alam

SHAH ALAM, 8 JULAI: Cuti panjang hujung minggu sempena sambutan Maal Hijrah dimaanfaatkan pemilik dan peminat kucing berkunjung ke Taman Rekreasi Kucing Catopia.

Gelagat dan telatah 'si bulus' menarik pengunjung di Dataran Kemerdekaan di sini, untuk turut sama beriadah sekali gus memberi manfaat kesihatan mental serta fizikal.

Suri rumah, Nazhatulsyima Abd Aziz, 40, hadir membawa kucing kesayangannya 'Oyen' selain mengambil peluang meluangkan masa bersama suami Mohd Zafran Abdul Aziz, 47, dan enam anak mereka.

“Hujung minggu ini memang waktu paling sesuai untuk keluar bersama keluarga. Kebetulan pula kami baharu saja tahu mengenai Catopia ini di laman sosial.

“Jadi kami bawa Oyen untuk lepaskan tekanan. Kucing pun ada tekanan. Taman ini memang sangat bagus dan saya harap ia dapat dibina di banyak tempat lain,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

[caption id="attachment_651224" align="alignnone" width="797"] Pemilik bermain bersama kucing peliharaan masing-masing sempena Majlis Prapelancaran Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Kakitangan swasta, Fatin Hanisah Zulkifli, 24, pula berkata kedudukan Catopia yang strategik di tengah bandar memudahkan orang ramai mengunjungi taman rekreasi kucing itu.

Beliau berhasrat membawa kucing kesayangannya, 'Comek' ke taman berkenaan lebih kerap bagi mendedahkan kucing baka 'British Short Hair' itu dengan persekitaran luar.

“Kucing ini saya bela sejak tahun lalu, semasa dia berumur empat bulan. Tetapi dia tidak banyak bermain di luar kerana saya bimbang dengan keadaannya yang tidak sama dengan kucing lain.

“Bila ada taman ini, saya mahu bawa Comek ke sini selalu kerana saya mahu dia bermain di luar. Tempat ini juga tidak jauh dari rumah saya di Seksyen 2,” katanya.

[caption id="attachment_651225" align="alignnone" width="821"] Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim bersama pemilik kucing sempena Majlis Prapelancaran Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

Tidak memiliki kucing, namun kakitangan swasta, Wan Hairul Fazilah Mohd Ali, 45, hadir ke Catopia membawa dua anaknya yang amat meminati haiwan terbabit.

“Kami memang tidak bela kucing tetapi anak-anak amat sukakan kucing. Jadi saya bawa mereka untuk lihat dan bermesra dengan kucing. Perlu juga perhatikan kerana bimbang pemilik kucing tidak selesa,” katanya.

[caption id="attachment_651226" align="alignnone" width="781"] Gelagat kucing bermain kawasan permainan ketika Majlis Prapelancaran Taman Rekreasi Kucing Catopia Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 4 Julai 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Taman rekreasi kucing yang pertama di Shah Alam itu dibuka secara percuma hingga 31 Disember depan dari jam 10 pagi hingga 7 malam.

Mampu memuatkan kira-kira 20 ekor kucing dalam satu-satu masa, taman itu turut menyediakan 12 elemen menarik seperti papan tanda informasi, peta, tempat perlindungan dan makanan kucing.

Taman rekreasi berkeluasan 300 meter persegi dengan kos RM250,000 itu bakal dirasmikan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin pada Oktober depan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.