ad
AGENDA

PRK Sungai Bakap: PN pertahan kerusi dengan majoriti 4,267 undi

6 Jul 2024, 2:20 PM
PRK Sungai Bakap: PN pertahan kerusi dengan majoriti 4,267 undi

NIBONG TEBAL, 6 JULAI: Perikatan Nasional (PN) mengekalkan status quo di Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal itu menang dengan majoriti 4,267 undi setelah memperoleh 14,489 undi untuk menewaskan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Joohari Ariffin yang mendapat 10,222 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Khairulnizam Hashim di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini malam ini.

Khairulnizam berkata sebanyak 63.45 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK itu.

Semasa Pilihan Raya Negeri pada Ogos 2023, Nor Zamri Latiff daripada PAS menang dengan majoriti 1,563 undi selepas menewaskan calon HARAPAN Nurhidayah Che Rose.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.