ad
AGENDA

39,151 pengundi Sungai Bakap tentukan wakil rakyat hari ini

6 Jul 2024, 12:21 AM
39,151 pengundi Sungai Bakap tentukan wakil rakyat hari ini

NIBONG TEBAL, 6 JULAI: Seramai 39,151 pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini.

Sembilan pusat mengundi melibatkan 65 saluran dibuka mulai 8 pagi hingga 6 petang sebelum proses penjumlahan undi berlangsung di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

Secara keseluruhan 39,279 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 57 anggota polis.

Bagaimanapun, PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan tiada pusat mengundi awal dibuka walaupun tarikhnya ditetapkan 2 Julai lalu selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan 128 kertas undi kepada yang berhak mengundi secara pos.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Joohari Ariffin dan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail diadakan berikutan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Bagi dua calon bertanding itu, hanya Abidin yang mengundi hari ini di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri memandangkan Joohari merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh, salah satu DUN dalam Parlimen Nibong Tebal selain Sungai Bakap.

Kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal pada Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu selepas menewaskan calon PH Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Ini adalah PRK kelapan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dengan yang pertama diadakan ialah PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu) disusuli PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu) dan PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.