BERITA UTAMA

EXCO: Selangor FC bawa hukuman MFL ke mahkamah timbang tara

5 Jul 2024, 9:00 AM
EXCO: Selangor FC bawa hukuman MFL ke mahkamah timbang tara

SHAH ALAM, 5 JULAI: Selangor FC sedang dalam proses membawa kes hukuman Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke peringkat mahkamah timbang tara sukan, kata EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi.

Menurut beliau, skuad gergasi merah juga sudah mengupah peguam dan akan terus membuat rayuan dan membawa ke peringkat lebih tinggi.

"Ini kerana sesuatu (hukuman) MFL sebelum ini lebih keras tetapi apabila Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah baru ada pertimbangan.

"Tetapi Selangor FC masih lagi akan teruskan rayuan dan bawa ke peringkat lebih tinggi," katanya ketika menggulung usul tergempar mengecam perbuatan ekstrim bersifat keganasan ke atas atlet sukan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata insiden yang menimpa pemain Faisal Halim itu tidak seharusnya berlaku dalam sukan bola sepak.

"Bola sepak tidak seharusnya memecah belahkan masyarakat. Walaupun menyokong pasukan negeri tidak bermakna kita menanam kebencian kepada pasukan lain.

"Namun, kini terbalik, sukan bola sepak merentasi batas kenegerian dan semakin menular ketaksuban tetapi Menteri Besar Kedah membuktikan sebaliknya. Pihak berkuasa perlu menyatakan status siasatan, siapa pelaku atau dalang di sebalik insiden," katanya.

Terdahulu, wakil rakyat blok kerajaan dan pembangkang mengecam sekeras-kerasnya insiden yang berlaku kepada pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim pada Mei lalu selain mendesak siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Kesemua wakil rakyat turut menyokong usul tergempar di bawa Ahli Dewan Negeri Seri Serdang Abbas Azmi yang mengecam perbuatan ekstrim bersifat keganasan ke atas atlet sukan.

Usul tergempar di bawah Peraturan Tetap 17(1) itu diluluskan Speaker DNS Lau Weng San selepas dibahaskan lima wakil rakyat.

Lima wakil rakyat sebulat suara menyokong usul tergempar tersebut ialah Hilman Idham (Gombak Setia); Ong Chun Wei (Balakong); Mu’izzuddeen Mahyuddin (Hulu Bernam); Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad (Lembah Jaya) dan Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis).

Kerajaan Negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor melancarkan tabung berkenaan susulan keputusan tidak adil yang dijatuhkan MFL kepada skuad Gergasi Merah.

Pada 27 Jun, MFL menimbang semula hukuman yang dikenakan terhadap Selangor FC sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Hukuman denda dikurangkan daripada RM100,000 kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 turut dibatalkan.

Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik.

Pada 30 Jun, Johan berkata pihaknya sudah memfailkan rayuan berdasarkan keputusan yang dipertimbang semula oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL.