ad
AGENDA

12 mangsa nahas bas masih dirawat di hospital

10 Jun 2024, 8:44 AM
12 mangsa nahas bas masih dirawat di hospital

KUANTAN, 10 JUN: Sebanyak 12 mangsa kemalangan bas persiaran di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin semalam masih menerima rawatan di hospital di sini, Rompin, Segamat dan Melaka.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Nor Azman Yusof berkata mangsa terdiri daripada lapan guru, dua kerani, seorang suri rumah dan seorang pelajar.

“Lima mangsa sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Hospital Muadzam Shah, Rompin (satu), Hospital Segamat, Johor (dua), Hospital Melaka (satu) dan pusat perubatan swasta (tiga),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam nahas jalan raya awal pagi semalam, empat maut manakala 35 cedera selepas bas yang dalam perjalanan membawa rombongan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras terbabit dalam kemalangan.

Mangsa yang maut ialah Penolong Kanan Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Hasnatul Adilah Hassan, 48, pemandu kedua bas Hadi Asyraf Mad Idris, 29, pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60 dan guru, Dahlia Ahmad, 52.

Bas yang membawa 39 penumpang termasuk dua pemandu dilaporkan terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan merempuh sebuah treler yang membawa muatan gelung besi.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.