Serangan asid terhadap pemain kebangsaan Faisal Halim oleh dua individu tidak dikenali pada 5 Mei menggempar negara, khususnya peminat bola sepak tanah air.
Tonggak Selangor FC berumur 26 tahun itu dicurah asid sulfurik pekat pada petang hari kejadian selepas bersama isteri dan anak serta dua rakannya ke pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Sebelum diserang, beliau membuat bayaran tempat letak kereta dan berjalan berseorangan ke arah kenderaannya kira-kira 50 meter dari pintu masuk pusat beli-belah tersebut.
Ketika anak jati Pulau Pinang itu membuka pintu kereta pelbagai guna dan duduk di tempat pemandu, beliau didatangi dua individu yang menunggang motosikal.
Penunggang motosikal sempat menegur Faisal dengan mengucapkan selamat maju jaya sebelum menyimbah asid. Suspek dikatakan berpatah balik mengambil botol asid yang terjatuh.
Faisal mengerang kesakitan. Dua rakan dan isterinya kemudian datang memberi bantuan dan membawanya ke sebuah hospital swasta di Shah Alam.
Tiga hari sebelumnya, pemain Terengganu FC Akhyar Rashid diserang dalam kejadian samun di kondominium di Kuala Terengganu ketika pulang makan malam.
Pada malam 7 Mei, pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim pula menjadi mangsa serangan dua individu tidak dikenali berhampiran pusat latihan kelab itu di Seri Gelam, Johor Bahru.
Dalam insiden membabitkan ketiga-tiga pemain kebangsaan, keadaan Faisal paling teruk sehingga dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mengesahkan Faisal mengalami kelecuran tahap empat yang menjejaskan lapisan kulit sehingga melibatkan otot dan tulang.
Pemain sayap yang digelar ‘Mickey’ terpaksa menjalani pembedahan pada 5 Mei, 7 Mei dan terbaharu pada 9 Mei yang menumpukan prosedur tampalan kulit.
Menurut Shahril, doktor menganggap Faisal ‘istimewa’ berikutan kecederaannya menunjukkan pemulihan cepat meski menjalani tiga pembedahan. Beliau juga tidak menolak kemungkinan tonggak Red Giants itu pulang ke rumahnya pertengahan Jun.
Tanggung kos rawatan
Insiden itu mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah sebagai Pengerusi Selangor FC.
Sultan Sharafuddin mengecam sekeras-kerasnya serangan tersebut dan mahu polis menyiasat ke akar umbi serta mencari punca sehingga pelakunya ditangkap segera.
Tengku Amir pula mencemar duli melawat Faisal yang menerima rawatan, malah Baginda menzahirkan kesediaan menanggung kos rawatan dan perubatan pemain itu.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan terhadap Faisal dan menggesa pihak berkuasa membuat siasatan menyeluruh terhadap kes membabitkan Faisal dan Akhyar.
Polis menahan lelaki berusia 20-an di Pandan Indah, Ampang Jaya dan seorang lagi lelaki berumur 30-an di Bandar Baru Bangi, Kajang sebelum dibebaskan selepas memberi keterangan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilapor berkata pada 11 Mei, polis dalam proses menghasilkan fotofit suspek.
Lakaran itu berdasarkan bantuan saksi dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian. Polis juga merakam keterangan lebih 12 individu.
Sebagai tanda simpati dan kebersamaan, Selangor FC memasang beberapa papan iklan besar tertulis ‘Stand with Faisal Halim, Stop The Violence’ selama sebulan sekitar negeri ini. Peminat juga berbuat demikian di lokasi lain.
DYTM Raja Muda Selangor juga berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin dan Doa Selamat untuk Faisal di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang pada 10 Mei.
Turut mengiringi Tengku Amir Shah ialah EXCO Sukan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon.
Majlis doa selamat memohon kesihatan serta kesejahteraan pemain sayap kiri Selangor FC itu dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Muhammad Farhan Wijaya.
Kejadian menimpa penjaring gol tercantik Piala Asia 2023 itu turut mendapat perhatian pemain bola sepak antarabangsa.
Dua bintang Manchester United, Andre Onana dan Alejandro Garnacho bersimpati dan mendoakan kesembuhan dan kesejahteraan Faisal.
“Kepada Faisal, kami mengetahui apa yang berlaku dan merasai (penderitaan) kamu. Kami tahu bahawa sekarang ini adalah situasi cukup sukar untuk kamu dan juga keluarga.
“Kami berharap yang terbaik untuk kamu, sentiasa kuat kerana kami sentiasa bersama kamu,” kata Onana menerusi temu bual khas bersama Stadium Astro pada 11 Mei.
Setakat 14 Mei, pemain itu dipindah ke wad biasa selepas sembilan hari ditempatkan di ICU. Mengikut Shahril, butir percakapan Faisal juga semakin jelas, malah selera makan pemain itu bertambah.