ad
AGENDA

PRK KKB bukti kerjasama Kerajaan Perpaduan tepat, pastikan rakyat terbela

12 Mei 2024, 10:15 AM
PRK KKB bukti kerjasama Kerajaan Perpaduan tepat, pastikan rakyat terbela

SHAH ALAM, 12 MEI: Kemenangan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu bukti kerjasama terjalin antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan (HARAPAN) berada landasan tepat.

Pengarah Pilihan Raya Kuala Kubu Bharu HARAPAN Ng Sze Han berkata pelbagai usaha sedang dilakukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan nasib rakyat terus terbela dan ekonomi terus maju.

“Sinergi kerjasama Barisan Nasional dan HARAPAN adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran negara demi menjayakan pembangunan negara yang berbilang bangsa.

“Terima kasih kepada rakyat Kuala Kubu Bharu kerana terus beri kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan terus menabur khidmat bakti.

“Bagi wakil rakyat yang diberi mandat diharap memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat serta menjadikan Kuala Kubu Bharu sebuah bandar berdayahuni,” katanya yang juga setiausaha DAP Selangor.

Kerajaan Perpaduan mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan memperoleh majoriti 3,869 undi dalam pertembungan empat penjuru.

Pang Sock Tao memperoleh 14,000 undi menewaskan Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional yang mendapat 10,131 undi sementara Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hafizah Zainuddin 152 undi dan Bebas, Nyau Ke Xin hanya 188 undi.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Baharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.