SHAH ALAM, 2 MEI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengenal pasti 21 lokasi panas demam denggi yang memerlukan pemantauan bagi mengelak peningkatan kes.
Datuk bandarnya berkata semua pihak terutama ahli majlis dan penduduk perlu mempergiatkan usah dengan menjalankan gotong royong serta aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk.
"Kerjasama semua pihak amat penting untuk membendung isu denggi yang tiada kesudahan. Pihak MBSJ bersedia memberikan kerjasama kepada majlis perwakilan penduduk (MPP) dalam aktiviti pencegahan dan pengawalan.
"Kita boleh menyediakan bantuan dari segi pameran, taklimat dan pemudah cara aktiviti cari dan musnah,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), baru-baru ini.
Pada perkembangan sama, Mohd Fauzi memaklumkan sejumlah 3,996 kes demam denggi dilaporkan bagi tahun 2024 sehingga minggu epid 16 di Subang Jaya, meningkat 71.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 2,331 kes.
“Bagaimanapun, terdapat trend penurunan kes bagi tiga minggu epid terkini yang mana kes pada minggu ke 16 adalah 148 berbanding dengan minggu epid ke 13 sebanyak 206 kes.
“Diharapkan penurunan kes ini akan berterusan dan dapat meningkatkan tahap kesihatan penduduk di kawasan MBSJ secara keseluruhannya,” katanya.